Sabtu, 12 November 2016

Bola sepak Liga Perdana -- Terengganu gugur empat pemain lama

ARKIB : 23/01/1999
NAIB juara Piala Malaysia tahun lepas, Terengganu, telah menggugurkan empat pemain musim lalu serta mengambil khidmat enam pemain baru dalam menghadapi kempen bola sepak Liga Perdana tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh bagaimanapun enggan menamakan empat pemain yang diketepikan itu, tetapi hanya menyatakan kesemua mereka hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Enam pemain baru ialah M. Ganeson dan Rosli Omar dari Negeri Sembilan, Abdul Ghani Malek (Kuala Lumpur), Mohd. Nafuzi (Kelantan) serta dua anak kelahiran negeri Terengganu, dari pasukan Polis, iaitu Zulfakri Ashaari dan penjaga gol, Mohd. Ariffin Musa.

Kecuali perubahan kecil itu, PBSNT mengekalkan semua pemain lain musim lalu, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat agung dan jamuan Aidilfitri Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat juga mengesahkan bahawa pemain Annuar Jusoh turut menyatakan persetujuan untuk kekal bersama skuad negeri itu dengan gaji mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Tidak timbul soal gaji lebih daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh FAM, cuma gembar gembur saja yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak senang dengan PBSNT,'' katanya.

''Memang semuanya inginkan gaji yang tinggi, tetapi pemain Terengganu mengutamakan khidmat mereka kepada pasukan sebagai perkara pokok, manakala gaji merupakan soal kedua,'' katanya.

Jumlah-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PoWkRrSt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan