ARKIB : 30/11/1998
''SYUKUR...kita berjaya ke
akhir,'' itulah luahan penuh kegembiraan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) merangkap Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh, lapor
RADHUAN HUSSAIN.
Beliau ketika ditemui selesai
sahaja perlawanan separuh akhir kedua Terengganu-Sabah yang berkesudahan tuan
rumah menang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddih Shah, kelmarin ternyata
'gagal' menyembunyikan perasaannya setelah penantian 16 tahun skuad Penyu ke
akhir, berhasil.
Che Mat dengan terharu
memberitahu, kejayaan yang turut memusnahkan impian Sabah ke Bukit Jalil 12
Disember ini jelas bersandarkan semangat padu para pemain Terengganu menghadapi
saat getir pertarungan sungguhpun pada awalnya mempunyai kelebihan agregat 2-0
ke atas lawan.
Semangat juang kesebelasan
pemain dalam pendakian ke persada akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, perlu
diberi penghargaan serta pujian biarpun 10 minit pertama perlawanan ternyata
tekanan menghimpit perasaan.
Akibatnya aksi dan corak
permainan selain strategi yang agak kurang menjadi, begitu meresahkan pemain,
jurulatih (Abdul Rahman Ibrahim) tidak terkecuali kira-kira 18,000 penonton
tuan rumah.
Bagaimanapun kata Che Mat,
kelemahan itu terutama tekanan mental yang cukup dahsyat membelenggu pemain
akhirnya terubat dengan kembali bangkit menggempur segenap penjuru benteng
lawan.
''Alhamdulillah pemain kita
berjaya mengawal keadaan yang penuh tekanan dan saya beberapa kali berpesan
agar mereka tidak gelabah sebaliknya sentiasa bijak mengawal keadaan serta
bertenang,'' ujarnya.
Malah sebelum pertarungan
kedua, kelmarin, beliau yang sempat mengintai kelemahan beberapa pemain lawan
turut meyakinkan pemain, Terengganu wajar mencuri kesempatan itu.
Selain itu Che Mat juga tidak
melupakan peranan banyak pihak terutama para penonton dan pihak media dalam
menentukan kejayaan Terengganu yang bakal beraksi bertemu Perak pada perlawanan
akhir.
''Inilah yang kita mahu, para
penonton tuan rumah yang sesak memenuhi ruang stadium memberikan sokongan padu
kepada pemain dan begitu juga pihak media, kita amat berterima kasih,''
katanya.
Namun perjuangan skuad Penyu
yang dinobatkan hasil kemenangan ke atas Sabah menerusi jaringan Samuel Chebli
dan Badrul Hisham Abdullah, kelmarin dan berjaya menyusuri Bukit Jalil 12
Disember ini bagi menjulang Piala Malaysia, masih belum berakhir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbQoQ5na
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan