ARKIB : 09/12/1998
PENJAGA gol Terengganu, Zubir
Ibrahim berjanji akan turun bermati-matian memastikan setiap sudut gawang tidak
mudah dibolosi pemain Perak pada perlawanan akhir di Bukit Jalil, Sabtu ini.
Dia merasakan tanggungjawab
mengawal pintu gol yang diserahkan kepadanya amat berat dan mesti dipikul
sebaik mungkin kerana jika tidak, dia akan dipersalahkan serta dikecam.
Tambah lagi peluang kali ini
untuk menjulang Piala Malaysia bagi pandangan pemain berusia 32 tahun itu ada
di depan mata dan ia perlu dimanfaatkan.
Menurut Zubir, setiap
perlawanan terutama pada pertarungan penting (akhir) gol pendulu mana-mana
pasukan akan mempengaruhi keputusan muktamad perlawanan.
''Sebab itulah saya akan
bermain habis-habisan bagi memastikan barisan serangan lawan (Perak) tidak
mencuri gol sulung.
''Sebaliknya rakan-rakan pemain
yang lain akan berjuang mencari gol awal untuk menentukan keadaan sebelum tamat
perlawanan menjadi lebih selesa,'' katanya ketika ditemui selepas sesi latihan
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam.
Pemain kelahiran Terengganu itu
bagaimanapun tetap menghormati barisan pemain Perak terutama di barisan
serangan dan dia tidak menafikan sedikit sebanyak membuatkannya sukar mengenal
pasti taktik pemain lawan memandangkan ia adalah perlawanan pertama kedua-dua
pasukan musim ini.
Zubir turut menerima hakikat
akan merasai tekanan pada perlawanan kemuncak nanti namun berdasarkan 10 tahun
pengalaman sebagai penunggu gawang, gemuruh dapat dikawal.
Ketika ditanya desas desus dia
akan mengambil keputusan untuk bersara selesai sahaja Piala Malaysia musim ini,
sambil tersenyum berkata: ''Keadaan akan menentukan.''
Buat Sapian Wahid pula yang
tidak tersenarai kerana kecederaan, terpaksa menerima hakikat melupakan
impiannya menjejaki Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
Dia yang sememangnya dari awal
musim lagi menyimpan hasrat untuk bersama lain-lain rakan sepasukan ke
penghujung Piala Malaysia kali ini ternyata gagal menyembunyikan perasaan
sedihnya itu.
Sapian bagaimanapun tetap
berdoa mengharapkan Terengganu turun dengan aksi cemerlang sekali gus berjaya
meraih kejayaan.
Selepas sesi latihan di stadium
semalam, semua pemain Terengganu bersama pegawai termasuk pengurus pasukan,
Datuk Che Mat Jusoh dan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim sempat melayani peminat
setia skuad Penyu dengan menurunkan tanda tangan pada poster yang dijual dengan
harga RM3 setiap satu.
Turut memberi sokongan moral
kepada pasukan Penyu di stadium yang sama ialah penyanyi popular kelahiran
Terengganu, Saleem.
Oleh: RADHUAN HUSSAIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Pc0yY3s2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan