Sabtu, 5 November 2016

Terengganu masih belum selesa

ARKIB : 02/11/1998
MESKIPUN menang selesa 2-0 ke atas Kuala Lumpur kelmarin, Terengganu seharusnya lebih berwaspada dan tidak harus mendabik dada kerana perjuangan untuk separuh akhir Piala Malaysia masih belum terjamin.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pemain-pemain Terengganu tidak harus berbangga dengan kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Ismail, Kuala Terengganu, kelmarin.

''Perjalanan kita masih lagi kabur,'' katanya mengulas kemenangan Terengganu ke atas Kuala Lumpur itu.

Che Mat menganggap setakat ini belum ada pasukan, termasuk Terengganu yang telah menempah tiket ke separuh akhir. Perebutan masih lagi terbuka.

Katanya, Terengganu memerlukan satu lagi kemenangan bagi memastikan tempat ke separuh akhir. Ia akan bertemu Pulau Pinang Sabtu ini dan Negeri Sembilan minggu berikutnya.

Beliau tidak menafikan Terengganu telah memberi persembahan terbaik ketika bertemu Kuala Lumpur malam tadi dan prestasi ini perlu dikekalkan apabila bertemu Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Che Mat yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata pemain-pemain tidak harus lalai dengan kemenangan itu.

Kata beliau semua pemain import - Jean Nyma, Seidu Issifu dan Samuel Cheli _ telah berjanji akan memberi persembahan cemerlang bagi mencapai matlamat pasukan.

Mereka seolah-olah tidak kisah dengan apa yang akan berlaku pada tahun 1999 di mana perkhidmatan pemain import mungkin tidak diperlukan lagi dalam liga Malaysia.

Che Mat berkata jurulatih Abdul Rahman Ibrahim terpaksa bekerja lebih keras bagi memastikan anak-anak buahnya tidak membuat sebarang kesilapan yang boleh menghancurkan impian Terengganu.

Sementara itu, bagi para penyokong, kejayaan juara Perdana Dua sedikit-sebanyak mengembalikan minat mereka untuk terus memberi sokongan penuh kepada pasukan itu.

Sambutan hangat penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ketika pertemuan Sabtu lalu mendorong Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) mengajak mereka ke Pulau Pinang, minggu depan.

Setiausaha kelab berkenaan, Wan Mohd. Azmi Wan Ngah berkata, orang ramai khususnya peminat bola sepak Terengganu dipelawa menyaksikan perlawanan Terengganu menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya 7 Oktober ini.

Menurutnya, kemudahan itu disediakan supaya para peminat dapat memberi sokongan penuh kepada pasukan kesayangan mereka ketika menghadapi Pulau Pinang di gelanggang lawan.

Setakat ini beliau berkata, pihaknya menyediakan sebuah bas untuk membawa penyokong ke Pulau Pinang dan perkhidmatan itu mungkin ditambah bergantung kepada sambutan orang ramai.

Kepada ahli Kelab Peteh, tambang yang dikenakan ialah RM35 manakala bukan ahli RM40 seorang.

''Tambang bas yang dikenakan itu tidak termasuk bayaran tiket perlawanan,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Wan Mohd. Azmi berkata, mereka yang berminat ke Pulau Pinang boleh datang ke Kedai Sri Timur Trading, No. 4, Bawah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk urusan pendaftaran.

Tarikh tutup pendaftaran ialah pukul 4.30 petang 4 Oktober ini (Rabu) dan para penyokong diminta berkumpul di stadium yang sama sebelum bertolak ke Pulau Pinang pukul 9.30 malam Jumaat ini (6 Oktober).

Sehubungan itu beliau meminta lebih ramai peminat dan penyokong bola sepak Terengganu memberi sokongan kepada pasukan mereka dalam mengharungi Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PBp9rsEe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan