ARKIB : 11/12/1998
''KALAU kita berjaya bermain
dengan baik dan mengatasi segala kelemahan lalu, ia akan membawa hasil yang
baik dan kita pasti mampu mengecap kejayaan''.
Demikianlah amanat terakhir
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang juga pengurus
skuad Penyu, Datuk Che Mat Jusoh.
Beliau bersama lain-lain
pegawai dan pemain berangkat terbang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang
Sultan Mahmud Kuala Terengganu pagi semalam untuk perlawanan akhir melawan
Perak malam esok.
Menurutnya, kesemua para pemain
Terengganu akan mula menjalani latihan pagi ini di Stadium Nasional Bukit
Jalil, dua hari menjelang perlawanan akhir menentang Perak.
Beliau setakat ini amat berpuas
hati dengan keadaan semua pemain yang sudah bersiap sedia bertarung pada
perlawanan yang pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat sukan bola sepak tanah
air.
''Kita bersedia menghadapi
perlawanan akhir malam esok dan para pemain semuanya dalam keadaan baik malah
kita mengharapkan mereka dapat mengekalkan mutu permainan seperti sebelumnya,''
katanya.
Che Mat yang enggan mengulas
lanjut ketika ditanya mengenai senario selepas perlawanan berlangsung khususnya
jika kejuaraan berpihak kepada Terengganu beliau berkata, yang paling utama
buat masa ini ialah tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan itu.
''Biarlah kita tumpukan sepenuh
perhatian terhadap perlawanan dengan Perak malam esok dan perkembangan
selanjutnya akan diketahui selepas itu,'' jelasnya.
Ditanya pandangannya mengenai
pasukan lawan terutama masalah dalaman sehingga mencetuskan pergaduhan
jurulatihnya, Karl Weigang dengan penyerang import, Laszlo Repasi, Che Mat
berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan dalaman pasukan itu.
Menurutnya, masalah yang
dihadapi Perak berhubung masalah membabitkan jurulatih dan pemain importnya
adalah urusan Perak sendiri.
''Kita sememangnya menghormati
lawan (Perak) dan mengenai krisis yang dihadapinya, itu adalah urusan mereka,''
kata Che Mat.
Apa yang lebih penting beliau
mengulangi pendiriannya, persiapan terakhir skuad Penyu merupakan perkara pokok
yang perlu diberi perhatian.
''Kita sedang memperkemaskan
lagi kedudukan untuk menentang Perak dan mengenai masalah pasukan itu,
terpulanglah pada mereka (Perak),'' tambahnya.
Oleh: RADHUAN HUSSAIN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PcHuBym4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan