ARKIB : 28/01/1999
SELEPAS bergelar naib juara
Piala Malaysia musim lalu, Terengganu terus mengambil sikap merendah diri dan
tidak mahu menggembar-gemburkan kehebatan yang ada pada mereka.
AMIR SARIFUDIN melaporkan,
pasukan pantai timur itu yang juga lebih mudah dikenali dengan nama 'penyu',
juga tidak akan meletakkan sebarang sasaran pada pertandingan liga musim ini.
Namun begitu, pasukan
Terengganu akan terus menjalani latihan rapi dan bersungguh-sungguh di bawah
jurulatih barunya, Yunus Alif.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, walaupun Terengganu
sudah bergelar naib juara, tetapi mereka akan terus mengambil sikap merendah
diri seperti sebelumnya.
''Kita juga tidak meletakkan sasaran
kepada pasukan Terengganu kerana tidak mahu tekanan terhadap para pemain.
''Kita akan mulakan latihan
rapi di bawah Yunus Alif di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah,'' katanya
pada pemberita di majlis kenal mesra dengan para pemain pasukan itu di pejabat
PBSNT, Kuala Terengganu, semalam.
Sementara itu jelasnya,
jurulatih baru Yunus Alif, anak kelahiran Terengganu dan bermastautin di
Pahang, akan memulakan tugas sebagai jurulatih Terengganu mulai hari ini.
Beliau menggantikan Abdul
Rahman Ibrahim yang telah dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan.
Menurut Mat Jusoh, Yunus Alif
akan diberi sepenuh kepercayaan bagi membimbing serta mengemudi pasukan
Terengganu dalam cabaran musim ini.
Beliau menambah, pasukan
Terengganu pada musim ini sebahagian besarnya akan disertai oleh muka-muka
lama.
Manakala bekas pemain Negeri
Sembilan, A. Ganesan dan bekas pemain Kuala Lumpur, Ghani Malek juga dijangka
akan bersama Terengganu dan kehadiran mereka ini sebagai menggantikan tempat
pemain import.
Tiga pemain import Terengganu
pada musim lalu ialah Samuel Chebli, Seidu Issifu dan Jean Jacques Nyima.
Sementara itu beberapa pemain
kebangsaan seperti Anuar Jusoh, A. Ganesan dan Ghani Malek telah diberi
pelepasan dari menjalani latihan pasukan Terengganu hari ini.
''Mereka diberi pelepasan
kerana perlu menjalani latihan bagi pertandingan Piala Dunhill di Vietnam.
''Para pemain terbabit akan
bersama pasukan Terengganu pada 8 Februari depan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PrNGN3zk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan