ARKIB : 14/12/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) tidak akan tergesa-gesa mencari pengganti jurulatih Abdul
Rahman Ibrahim untuk memimpin pasukan Liga Perdananya musim depan.
Setiausaha PBSNT, Abdullah
Salleh berkata, pihaknya belum lagi memikirkan perkara itu kerana Terengganu
baru sahaja selesai menghadapi pertandingan akhir Piala Malaysia malam
kelmarin.
''Berilah peluang kita berehat
seketika sebelum kita memikirkan bakal pengganti Abdul Rahman,'' katanya ketika
ditanya mengenai perkara itu.
Abdul Rahman akan meninggalkan
pasukan Terengganu tahun depan untuk membimbing pasukan kebangsaan.
Abdullah berkata, Terengganu
mempunyai ramai jurulatih kelas A yang berkaliber dan boleh mengambil tempat
Abdul Rahman, antaranya bekas pemain kebangsaan Yahya Jusoh.
Beliau berkata persatuan akan
mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membincangkan persiapan
pasukan Terengganu tahun depan.
Ketika ditanya kemungkinan
Terengganu memilih jurulatih asing untuk membimbing pasukan Terengganu tahun
depan, beliau berkata, perkara itu belum difikirkan setakat ini.
Menurut beliau, walaupun
Terengganu pernah menggunakan khidmat jurulatih asing, namum untung rugi
jurulatih asing itu perlu dikaji dan difikir secara mendalam.
Abdullah berkata, masalah
pemain juga belum difikirkan, sebaliknya persatuan akan memberi peluang kepada
pemain-pemain yang baru selesai beraksi pada pertandingan akhir Piala Malaysia
malam tadi berehat.
Beliau berkata, Terengganu
mengalu-alukan pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang berhijrah ke negeri
lain pulang menabur bakti berikutan khidmat pemain import tidak digunakan tahun
depan.
Menurut beliau, apa yang jelas
sekarang Terengganu kekurangan pemain yang benar-benar dapat memikul
tanggungjawab sebagai penyerang yang dapat menggempur pihak lawan.
Beliau berkata, Terengganu
mungkin mencari pemain seumpama itu dalam sesi pemilihan pemain-pemain pada
tahun depan.
Mengulas kekalangan Terengganu
kepada Perak dalam pertandingan Piala Malaysia melalui tendangan penalti malam
tadi, beliau berkata, Terengganu telah memberikan persembahan terbaik sepanjang
kejohanan itu, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
''Saya percaya semua penonton
baik di Stadium Nasional Bukit Jalil mahupun penonton di rumah tentu memberi
pujian kepada pasukan Terengganu yang bermain dengan cantik dan kemas,''
katanya.
Beliau berkata, di atas
kekalahan itu Terengganu akan membina kekuatan untuk menghadapi kejuaraan tahun
depan. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PghTXj9h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan