Selasa, 29 November 2016

Terengganu mahu bantah

ARKIB : 01/04/1999
PENGURUS pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh akan mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan pengadil pada perlawanan Terengganu menentang Pahang, kelmarin.

Beliau mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Amir Sharifuddin Wong Abdullah yang enggan memberikan sepakan penalti kepada Terengganu biarpun Sapian Wahid secara terangan dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti Pahang.

Insiden itu berlaku pada beberapa minit terakhir sebelum tamat perlawanan sehingga penyerang tuan rumah itu terpaksa diusung keluar kerana kecederaan. Kedudukan perlawanan ketika itu Pahang mendahului Terengganu 2-1.

Che Mat memberitahu, untuk itu beliau berharap FAM perlu tegas dalam soal tersebut dengan meneliti kewibawaan pengadil terbabit.

Ini kerana jelasnya, ketegasan FAM mengenai perkara itu adalah penting dalam memastikan mutu keselamatan terpelihara ketika perlawanan berlangsung.

Ditanya kekalahan Penyu kepada Tok Gajah malam semalam beliau menambah, pasukan tuan rumah bermain dengan baik menerusi banyak serangan dilancarkan ke kubu lawan terutama selepas Terengganu berjaya menjaringkan gol.

Sementara itu jurulatih Terengganu, Yunus Alif ketika ditanya perkara yang sama berpendapat, beliau mengakui barisan pemainnya banyak melakukan kesilapan.

Katanya, kesilapan pemain dikesan sebaik sahaja Pahang berjaya menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-15 perlawanan bermula.

Yunus turut mengakui, semangat pemainnya disentap dengan gol kedua pasukan pelawat seawal minit pertarungan babak kedua menerusi penyerangnya, Wan Rohaimi Wan Ismail.

''Saya sendiri hairan bagaimana gol kedua Tok Gajah diperoleh dan dilihat sebelum itu bola dileretkan dari bahagian tepi ke tengah di depan pintu gol Terengganu.

''Ketika itu saya belum pun sempat duduk di bangku pemain di tepi padang dan melihat Pahang membuat satu lagi jaringan. Itulah bola sepak ia memberi kegembiraan dan juga kedukaan,'' tambah Yunus.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RPMX7hvE © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 November 2016

Terengganu, Pahang kutip 2 mata

ARKIB : 24/03/1999
STADIUM Darul Makmur nyata membawa tuah kepada tuan rumah, Pahang apabila berjaya memperoleh dua mata selepas mengatasi Perak menerusi sepakan pelanti 5-3, semalam.

Pahang menguasai permainan babak pertama, namun ketumpulan jentera serangan menjejas rentak tuan rumah dalam memburu gol.

Sebaliknya, Parak yang sesekali mengasak berjaya menghukum barisan pertahanan Pahang apabila N. Nagarajamenyumbat masuk pada minit ke-34 dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Ketinggalan satu jaringan bagaimanapun tidak mematahkan impian Pahang memburu kemenangan dan pada minit ke-58, Azizul Kamaluddin menceriakan kembali skuad tuan rumah menerusi gol penyamaan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mengejar kemenangan, namun kedudukan 1-1 itu kekal selepas 90 minit permainan yang memaksa penentuan pemenang menerusi sepakan penalti.

Pahang nyata bernasib baik ketika penentuan penalti apabila pemain pasukan pelawat, Tan Kok Heng gagal melakukan sepakan keempat buat Perak.

Ini memberi kelebihan buat tuan rumah yang berjaya menyumbat masuk kesemua lima gol menerusi Azhar Kamaluddin, Ahmad Shahruddin Rosdi, Azizul Kamaluddin, Mohd Khairul Anwar Abd Karim dan Wan Rohaimi Wan Ismail.

Gol penalti Perak dijaringkan oleh Roslan Hamid, R.Vikneswaran dan Lim Seng Kong.

Sementara itu, Terengganu membawa pulang dua mata selepas menewaskan Sabah 3-2 menerusi tendangan penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol dalam tempoh 90 minit permainan.

Kemenangan itu mengekalkan kedudukan Terengganu di tangga keempat kedudukan mata Perdana Satu.

Sebaliknya, yang gagal mencipta sebarang kemenangan dalam dua perlawanan menduduki dua tangga terbawah dengan berekal satu mata hasil keputusan seri permainan sepenuh masa mengikut format baru pertandingan.

Dalam tendangan penalti penentuan, gol Sabah dijaringkan oleh Azlan Ariffin dan David Rocastle.

Terengganu pula memperoleh gol menerusi jaringan Anuar Jusoh, Rosdi Talib dan Rosli Omar.

Di Alor Setar, perlawanan bola sepak Liga Perdana antara Kedah dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Darul Aman ditangguhkan ke malam ini disebabkan hujan lebat.

Pengadil perlawanan Mohd. Nazri Abdullah berkata, keputusan itu dibuat setelah hujan lebat yang turun tidak berhenti sehingga menyebabkan air bertakung di atas padang.

Hujan mulai turun ketika perlawanan memasuki minit ke-40 separuh masa pertama dan Kedah berjaya memperoleh gol pertama selang empat minit kemudiannya menerusi Cheah Kean Seng.

Perlawanan kemudiannya terus disambung sehingga berakhir babak pertama.

Untuk perlawanan malam esok, kedua-dua pasukan akan bermain semula selama 90 minit pada pukul 8.45 malam tanpa dikira jaringan pada malam tadi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RCD5pS2l © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Penyu guna bekas pemain Pahang

ARKIB : 08/03/1999
TERENGGANU mungkin mendapatkan khidmat bekas pemain Liga Perdana Pahang bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu menghadapi pertandingan bola sepak Liga Malaysia musim ini, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Badaruddin Osman, bekas penyerang Tok Gajah selama dua musim itu mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Penyu pada perlawanan ujian terakhir pasukan itu menentang skuad Olimpik 2000 di Kuala Terengganu 12 Mac ini.

Jurulatih Terengganu, Yunus Alif berkata, pemain kelahiran Terengganu itu turut akan diuji dalam beberapa sesi latihan terakhir menjelang perlawanan persahabatan melawan skuad Olimpik 2000 Jumaat ini.

Beliau memberitahu, sekiranya terpilih, Badaruddin akan diletakkan di posisi penyerang dalam membantu Penyu mencari seorang pemain yang berkebolehan bertindak sebagai striker utama.

''Terengganu ketika ini menghadapi masalah ketandusan penyerang berkaliber dan kita akan usahakan untuk itu bagi memperkuatkan pasukan menghadapi liga,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Yunus turut menyebut, beliau telah mengenal pasti kesebelasan utama Terengganu, tetapi buat masa ini senarai nama pemain terpilih itu belum diumumkan.

Jurulatih itu tidak menolak kemungkinan akan menurunkan semua kesebelasan utama tersebut pada perlawanan persahabatan terakhir mereka Jumaat ini.

''Kita juga berpuas hati dengan gandingan mantap dua bekas pemain Olimpik 2000 iaitu Nafuzi Mohd. Zain dan Hairuddin Omar bagi mempertajamkan jentera serangan.

''Bagaimanapun, Nafuzi dan Hairuddin perlu diberi lebih banyak pendedahan kerana mereka agak kurang berpengalaman serta mudah gelabah.

''Namun kita akan beri mereka berdua peluang. Ibarat memakan buah, apabila memetik buah yang putik ia tidak mungkin segera masak dan boleh dimakan,'' ujarnya.

Menyentuh perlawanan persahabatan malam semalam yang berkesudahan Terengganu tewas 0-1 kepada Pahang Yunus menjelaskan, pasukannya diwakili kebanyakan para pemain simpanan.

Ini kerana beliau belum bersedia untuk menurunkan pemain utama antaranya Anuar Jusoh dan Badrul Hisham Abdullah bagi mengelak ditimpa kecederaan menjelang perlawanan sebenar.

''Apa salahnya kita beri peluang kepada pemain simpanan untuk turun beraksi dan jika perlu mereka boleh diserap ke dalam kesebelasan nanti,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q5aSnrKB © Utusan Melayu (M) Bhd

Penyu masih mencari penyerang

ARKIB : 04/03/1999
PARA pemain skuad Penyu perlu meningkatkan kesungguhan dalam usaha mengejar kegemilangan pada Liga Malaysia 1999 yang akan bermula 20 Mac ini.

Jurulatih Terengganu, Yunus Alif yang mengakui masih wujud beberapa kelemahan dalam pasukan bagaimanapun berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan prestasi pemain, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Katanya, kesemua pemain kini hebat bersaing bagi merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang perlawanan pertama pasukan itu bertemu Kedah di Kuala Terengganu, 20 Mac ini.

Jurulatih itu juga menyebut, beliau sedang mengenal pasti seorang pemain untuk memikul tugas sebagai penjaring selain memastikan ketajaman jentera serangan memecah kubu lawan.

''Kita ada empat pemain untuk diberi peranan sebagai penyerang utama iaitu Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Sapian Wahid dan dua bekas pemain skuad Olimpik 2000, Khairuddin Omar serta Nafuzi Omar,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Menyentuh perlawanan persahabatan Terengganu menentang Pahang di Kuantan kelmarin, Yunus memberitahu, beliau berpuas hati biarpun skuad bimbingannya tewas 0-1.

Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan oleh Azizul Kamaruddin pada minit ke-86 sebelum permainan tamat.

Sementara itu, skuad Penyu akan melayani pasukan Tok Gajah pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu ini pukul 8.45 malam.

Selepas itu, Terengganu akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik 2000 pada 12 Mac ini di waktu dan tempat yang sama.

Tiket berharga RM3 dikenakan untuk setiap kali perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q4c2XrJc © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Perlawanan mengesan kelemahan

ARKIB : 24/02/1999
PEMAIN Terengganu gigih menjalani latihan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.

PERLAWANAN persahabatan antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini, merupakan 'ujian' penting untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam skuad Penyu, lapor AMIR SARIFUDIN.

Perlawanan itu juga adalah persiapan terakhir Terengganu bagi melengkapkan diri mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Bagi Terengganu, beberapa kekurangan akan dapat diatasi melalui perlawanan persahabatan itu termasuk menentang Pahang.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh memberitahu Sukan Utusan, perlawanan persahabatan itu juga adalah persediaan terakhir buat naib juara Piala Malaysia itu dalam menguatkan mental pemain.

''Kita mahu setiap pemain benar-benar bersedia sebelum Liga M bermula bulan depan.

''Perasaan dan mental pemain terhadap perlawanan sebenar harus bermula sekarang,'' katanya.

Che Mat melihat perlawanan persahabatan itu kelak bukan sahaja dapat mengenali setiap posisi pemain, malah meningkatkan kecergasan mereka.


Di samping itu, dari perlawanan itu juga pemain diminta mempraktikkan segala taktikal yang telah diterapkan oleh jurulatih Yunus Alif.

''Walaupun ia perlawanan persahabatan tetapi kita memilih Kelantan kerana ramai pemain pasukan itu mempunyai kebolehan yang tinggi.

''Oleh itu kita mahu skuad Penyu menampilkan segala latihan teknikal yang telah diajar ketika perlawanan berlangsung,'' katanya.

Mengenai keupayaan pemain, Che Mat berkata, pemain Terengganu kini berada dalam keadaan baik, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing.

Menurut Che Mat, Terengganu hanya seri 1-1 pada perlawanan persahabatan pertama menentang pasukan Majlis Bandaran Sungai Golok, Thailand Ahad lalu.

''Walaupun seri, tetapi kita berpuas hati kerana terdapat beberapa pemain utama yang tidak dapat turun disebabkan komitmen dengan pasukan kebangsaan.

''Perlawanan persahabatan dengan skuad dari selatan Thailand itu sedikit sebanyak dapat mendedahkan kelemahan-kelemahan yang ada dan ini akan kita perbaiki,'' katanya.

Che Mat melahirkan keyakinan Terengganu berupaya memberi cabaran lebih hebat apabila menurunkan barisan sebenar pada Perdana Satu nanti.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pu1div98 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

Yunus kenal pasti 18 pemain

ARKIB : 01/02/1999
JURULATIH Terengganu, Yunus Alif sudah mengenal pasti 18 daripada kesemua 24 pemain yang bakal disenaraikan dalam skuad Penyu untuk menghadapi musim baru bola sepak Liga Malaysia tahun ini, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Senarai yang akan dipilih itu termasuk empat pemain yang kini sedang mewakili skuad kebangsaan pada kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill di Vietnam.

Menurut Yunus, keempat-empat pemain itu terdiri daripada Anuar Jusoh, Mohd. Noor Derus, Abd. Ghani Malek dan A. Ganesan.

Jurulatih itu menjelaskan, beliau setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah mengendalikan tugas membentuk skuad Penyu dengan peringkat awal memberi lebih tumpuan kepada latihan 'keras'.

''Kita sudah kenal pasti 18 pemain dan mereka nampaknya menunjukkan komitmen yang baik kecuali seorang daripadanya iaitu Mustaffa Kamal Abd. Wahab mungkin tidak disenaraikan kerana kecederaan.

''Dia (Mustaffa) yang cedera lutut akan menjalani pembedahan pada 7 Februari ini,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Mengenai senarai 18 pemain yang akan dipilih itu Yunus memberitahu, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan ditentukan kemudian.

''Buat masa ini kita masih menjalani latihan dalam masa dua minggu lagi sejak Sabtu lalu dan keputusan penuh untuk senarai 18 pemain itu akan dibuat selepas itu,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PrqgmEef © Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Penyu kurang cergas

ARKIB : 29/01/1999
JURULATIH baru Terengganu, Yunus Alif bimbang kerana tahap kecergasan pemain-pemain Terengganu menurun sehingga 40 peratus selepas berakhirnya Piala Malaysia tahun lepas.

''Saya dapati kecergasan pemain tidak berada pada tahap memuaskan ... ini mungkin mereka telah berehat agak lama,'' katanya kepada pemberita selepas memulakan latihan pagi semalam.

Yunus berkata beliau akan berusaha meningkatkan semula kecergasan para pemain supaya mereka benar-benar berada pada tahap terbaik kerana pertandingan Liga Perdana akan bermula Mac ini.

Seramai 17 pemain menjalani latihan hari ini. Lima pemain lagi kini berada di Hanoi mewakili pasukan kebangsaan ke Kejohanan Piala Dunhill.

Mereka ialah Annuar Jusoh, Mohd. Nor Derus, Syamsol Saad, Ghani Malek dan A. Ganesan.

Yunus berkata latihan sebenar skuad Terengganu akan diadakan sebaik selepas pemain-pemain kebangsaan pulang nanti. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PrdCSgY6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu merendah diri

ARKIB : 28/01/1999
SELEPAS bergelar naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu terus mengambil sikap merendah diri dan tidak mahu menggembar-gemburkan kehebatan yang ada pada mereka.

AMIR SARIFUDIN melaporkan, pasukan pantai timur itu yang juga lebih mudah dikenali dengan nama 'penyu', juga tidak akan meletakkan sebarang sasaran pada pertandingan liga musim ini.

Namun begitu, pasukan Terengganu akan terus menjalani latihan rapi dan bersungguh-sungguh di bawah jurulatih barunya, Yunus Alif.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, walaupun Terengganu sudah bergelar naib juara, tetapi mereka akan terus mengambil sikap merendah diri seperti sebelumnya.

''Kita juga tidak meletakkan sasaran kepada pasukan Terengganu kerana tidak mahu tekanan terhadap para pemain.

''Kita akan mulakan latihan rapi di bawah Yunus Alif di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah,'' katanya pada pemberita di majlis kenal mesra dengan para pemain pasukan itu di pejabat PBSNT, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu jelasnya, jurulatih baru Yunus Alif, anak kelahiran Terengganu dan bermastautin di Pahang, akan memulakan tugas sebagai jurulatih Terengganu mulai hari ini.

Beliau menggantikan Abdul Rahman Ibrahim yang telah dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan.

Menurut Mat Jusoh, Yunus Alif akan diberi sepenuh kepercayaan bagi membimbing serta mengemudi pasukan Terengganu dalam cabaran musim ini.

Beliau menambah, pasukan Terengganu pada musim ini sebahagian besarnya akan disertai oleh muka-muka lama.

Manakala bekas pemain Negeri Sembilan, A. Ganesan dan bekas pemain Kuala Lumpur, Ghani Malek juga dijangka akan bersama Terengganu dan kehadiran mereka ini sebagai menggantikan tempat pemain import.

Tiga pemain import Terengganu pada musim lalu ialah Samuel Chebli, Seidu Issifu dan Jean Jacques Nyima.

Sementara itu beberapa pemain kebangsaan seperti Anuar Jusoh, A. Ganesan dan Ghani Malek telah diberi pelepasan dari menjalani latihan pasukan Terengganu hari ini.

''Mereka diberi pelepasan kerana perlu menjalani latihan bagi pertandingan Piala Dunhill di Vietnam.

''Para pemain terbabit akan bersama pasukan Terengganu pada 8 Februari depan,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PrNGN3zk © Utusan Melayu (M) Bhd

Bola sepak Liga Perdana -- Terengganu gugur empat pemain lama

ARKIB : 23/01/1999
NAIB juara Piala Malaysia tahun lepas, Terengganu, telah menggugurkan empat pemain musim lalu serta mengambil khidmat enam pemain baru dalam menghadapi kempen bola sepak Liga Perdana tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh bagaimanapun enggan menamakan empat pemain yang diketepikan itu, tetapi hanya menyatakan kesemua mereka hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Enam pemain baru ialah M. Ganeson dan Rosli Omar dari Negeri Sembilan, Abdul Ghani Malek (Kuala Lumpur), Mohd. Nafuzi (Kelantan) serta dua anak kelahiran negeri Terengganu, dari pasukan Polis, iaitu Zulfakri Ashaari dan penjaga gol, Mohd. Ariffin Musa.

Kecuali perubahan kecil itu, PBSNT mengekalkan semua pemain lain musim lalu, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat agung dan jamuan Aidilfitri Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat juga mengesahkan bahawa pemain Annuar Jusoh turut menyatakan persetujuan untuk kekal bersama skuad negeri itu dengan gaji mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Tidak timbul soal gaji lebih daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh FAM, cuma gembar gembur saja yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak senang dengan PBSNT,'' katanya.

''Memang semuanya inginkan gaji yang tinggi, tetapi pemain Terengganu mengutamakan khidmat mereka kepada pasukan sebagai perkara pokok, manakala gaji merupakan soal kedua,'' katanya.

Jumlah-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PoWkRrSt © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Azam Yunus untuk Penyu

ARKIB : 16/01/1999
JURULATIH baru Terengganu, Yunus Alif berazam membawa pasukan itu sekali lagi ke pertandingan akhir Piala Malaysia musim akan datang.

Bekas jurulatih Pahang itu berkata beliau juga akan menjadikan Terengganu pasukan elit yang disegani dan dihormati.

''Saya akan cuba sedaya-upaya dan akan mempergunakan segala pengalaman untuk memartabatkan pasukan kelahiran negeri saya ini,'' kata Yunus yang mula menjadi jurulatih pada 1995.

Terengganu layak ke pertandingan akhir Piala Malaysia musim lepas tetapi tewas kepada Perak dengan tendangan penalti.

Yunus berkata beliau gagal untuk membawa Pahang menjuarai Piala Malaysia setelah tumpas kepada Singapura dalam pertandingan akhir pada tahun 1995.

Yunus yang bermain untuk Terengganu pada tahun-tahun 1976-1979 sebelum berhijrah ke Pahang berkata pelantikan beliau sebagai jurulatih Terengganu merupakan suatu penghormatan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PiJJmwtk © Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu mahu berehat sebelum cari jurulatih

ARKIB : 14/12/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak akan tergesa-gesa mencari pengganti jurulatih Abdul Rahman Ibrahim untuk memimpin pasukan Liga Perdananya musim depan.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pihaknya belum lagi memikirkan perkara itu kerana Terengganu baru sahaja selesai menghadapi pertandingan akhir Piala Malaysia malam kelmarin.

''Berilah peluang kita berehat seketika sebelum kita memikirkan bakal pengganti Abdul Rahman,'' katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Abdul Rahman akan meninggalkan pasukan Terengganu tahun depan untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Abdullah berkata, Terengganu mempunyai ramai jurulatih kelas A yang berkaliber dan boleh mengambil tempat Abdul Rahman, antaranya bekas pemain kebangsaan Yahya Jusoh.

Beliau berkata persatuan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membincangkan persiapan pasukan Terengganu tahun depan.

Ketika ditanya kemungkinan Terengganu memilih jurulatih asing untuk membimbing pasukan Terengganu tahun depan, beliau berkata, perkara itu belum difikirkan setakat ini.

Menurut beliau, walaupun Terengganu pernah menggunakan khidmat jurulatih asing, namum untung rugi jurulatih asing itu perlu dikaji dan difikir secara mendalam.

Abdullah berkata, masalah pemain juga belum difikirkan, sebaliknya persatuan akan memberi peluang kepada pemain-pemain yang baru selesai beraksi pada pertandingan akhir Piala Malaysia malam tadi berehat.

Beliau berkata, Terengganu mengalu-alukan pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang berhijrah ke negeri lain pulang menabur bakti berikutan khidmat pemain import tidak digunakan tahun depan.

Menurut beliau, apa yang jelas sekarang Terengganu kekurangan pemain yang benar-benar dapat memikul tanggungjawab sebagai penyerang yang dapat menggempur pihak lawan.

Beliau berkata, Terengganu mungkin mencari pemain seumpama itu dalam sesi pemilihan pemain-pemain pada tahun depan.

Mengulas kekalangan Terengganu kepada Perak dalam pertandingan Piala Malaysia melalui tendangan penalti malam tadi, beliau berkata, Terengganu telah memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan itu, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

''Saya percaya semua penonton baik di Stadium Nasional Bukit Jalil mahupun penonton di rumah tentu memberi pujian kepada pasukan Terengganu yang bermain dengan cantik dan kemas,'' katanya.

Beliau berkata, di atas kekalahan itu Terengganu akan membina kekuatan untuk menghadapi kejuaraan tahun depan. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PghTXj9h © Utusan Melayu (M) Bhd

Perak julang Piala Malaysia


 

ARKIB : 13/12/1998
PEMAIN Perak, Azrul Amri Burhan (depan) cuba mengawal bola dalam perebutan dengan dua pemain Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Perak menang menerusi tendangan penalti 5-3.

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas ia menewaskan Terengganu 5-3 menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Kejayaan ini merupakan kali kedua Perak merangkul piala keagungan bola sepak negara selepas menjulangnya buat pertama kali pada 1970.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit permainan dan seri tanpa jaringan pada masa tambahan 30 minit.

Perak memperoleh gol penalti menerusi Roslan Hamid, Khairul Anwar, Lim Seng Kong, Chan Kok Heng dan Janus Kcrecka.

Bagaimanapun Terengganu gagal memanfaatkan peluang jaringan apabila menyaksikan sepakan Badrul Hisham Abdullah tersasar keluar dari gawang.

Sebelum itu, jaringan penalti Terengganu dihasilkan oleh Anuar Jusoh, Jean Nyima dan Rosadi Wahab.

Terengganu belum pernah mengukir sebarang kemenangan Piala Malaysia selepas sekadar muncul naib juara sebanyak dua kali pada 1973 dan 1982.

Perak kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada tahun 1970 dan kemenangan semalam merupakan buat kali kelima selepas 1926, 1931, 1957, 1967 dan 1970.

Selepas beraksi pada masa tambahan 30 minit, kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan gol sehingga membawa kepada sepakan penalti.

Sebelum itu, kedua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 menamatkan kancah saingan sengit 90 minit. Perak membuka tirai jaringan pertama menerusi jaringan V. Saravanan pada minit ke-58 sebelum Mohd Noor Derus menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Situasi itu memaksa perlawanan dilangsungkan pada masa tambahan sudden-death.

Perak yang diilhamkan oleh jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang nyata garang sebaik babak bermula menerusi gandingan serangan mantap V. Saravanan dan M. Nagaraja.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PgdegkbA © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 November 2016

Janji Perak, Terengganu

ARKIB : 12/12/1998
JURULATIH bola sepak Perak, Karl Heinz Weigang menjanjikan aksi paling bermutu tinggi bakal dipamerkan oleh kesebelasan terbaiknya untuk berhadapan dengan kekentalan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Malah jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim turut membayang aksi terbaik daripada anak buahnya untuk melayani kekentalan Perak.

''Dua pasukan yang tidak diberikan sebarang harapan mara ke akhir hingga mengejutkan semua peminat. Perlawanan akhir malam esok (malam ini) akan membuktikan era baru bola sepak Malaysia bakal bermula'' katanya.

Beliau membayangkan pertembungan dramatik tanpa kedua-dua pasukan membariskan pemain bergelar 'bintang' bakal mencetuskan permainan bermutu tinggi.

Buat jurulatih kebangsaan itu, aksi perlawanan akhir jelas berbeza namun ia tidak memberikan sebarang tekanan kepada barisan pertama yang akan diturunkan.

Bagi Weigang yang belum reda dengan insiden pergaduhan dengan penyerang utamanya, Laszlo Repasi beberapa hari lalu namun Weigang nampak tenang.

Yang pastinya Repasi tidak akan membarisi kesebelasan utama malam ini. Sewaktu sesi latihan akhir skuad Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam kelibat pemain itu tidak kelihatan.

''Antara saya dan Rahman sudah saling mengenali. Empat tahun bersama rasanya tiada sebarang yang menjadi rahsia,'' jelas Weigang di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Katanya, beliau yakin barisannya paling mantap bakal diturunkan selain aksi terbaik daripada skuad Perak.

''Saya tahu kekuatan Terengganu. Sudah tentu Rahman sudah membaca apa yang saya akan lakukan dan saya juga agak apa yang akan beliau lakukan,'' jelas Weigang.

Sementara itu, Abdul Rahman tidak langsung berminat perkembangan terkini yang melanda skuad Perak.

''Yang penting, pasukan saya akan cuba memberikan persembahan terbaik. Corak permainan yang bermutu tinggi mengidam untuk menang.

''Saya hormati Weigang kerana dia adalah guru saya. Pengalamannya lebih berbanding saya memang saya harapkan perlawanan akhir bermutu tinggi malam esok (malam ini),'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PcL3xxin © Utusan Melayu (M) Bhd

Bermain dengan baik - Che Mat

ARKIB : 11/12/1998
''KALAU kita berjaya bermain dengan baik dan mengatasi segala kelemahan lalu, ia akan membawa hasil yang baik dan kita pasti mampu mengecap kejayaan''.

Demikianlah amanat terakhir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang juga pengurus skuad Penyu, Datuk Che Mat Jusoh.

Beliau bersama lain-lain pegawai dan pemain berangkat terbang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pagi semalam untuk perlawanan akhir melawan Perak malam esok.

Menurutnya, kesemua para pemain Terengganu akan mula menjalani latihan pagi ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua hari menjelang perlawanan akhir menentang Perak.

Beliau setakat ini amat berpuas hati dengan keadaan semua pemain yang sudah bersiap sedia bertarung pada perlawanan yang pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat sukan bola sepak tanah air.

''Kita bersedia menghadapi perlawanan akhir malam esok dan para pemain semuanya dalam keadaan baik malah kita mengharapkan mereka dapat mengekalkan mutu permainan seperti sebelumnya,'' katanya.

Che Mat yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai senario selepas perlawanan berlangsung khususnya jika kejuaraan berpihak kepada Terengganu beliau berkata, yang paling utama buat masa ini ialah tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan itu.

''Biarlah kita tumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan dengan Perak malam esok dan perkembangan selanjutnya akan diketahui selepas itu,'' jelasnya.

Ditanya pandangannya mengenai pasukan lawan terutama masalah dalaman sehingga mencetuskan pergaduhan jurulatihnya, Karl Weigang dengan penyerang import, Laszlo Repasi, Che Mat berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan dalaman pasukan itu.

Menurutnya, masalah yang dihadapi Perak berhubung masalah membabitkan jurulatih dan pemain importnya adalah urusan Perak sendiri.

''Kita sememangnya menghormati lawan (Perak) dan mengenai krisis yang dihadapinya, itu adalah urusan mereka,'' kata Che Mat.

Apa yang lebih penting beliau mengulangi pendiriannya, persiapan terakhir skuad Penyu merupakan perkara pokok yang perlu diberi perhatian.

''Kita sedang memperkemaskan lagi kedudukan untuk menentang Perak dan mengenai masalah pasukan itu, terpulanglah pada mereka (Perak),'' tambahnya.

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PcHuBym4 © Utusan Melayu (M) Bhd