Rabu, 14 September 2016

Terengganu kian yakin hadapi Piala Malaysia

ARKIB : 19/08/1998
KEMENANGAN 4-1 skuad Liga Perdana Terengganu ketika bertemu pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur malam semalam memberi kelegaan dan keyakinan para pemain dan pihak pengurusan dalam mengharungi Piala Malaysia, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Menurut pengurus skuad Penyu itu, Datuk Che Mat Jusoh, kejayaan tersebut memperlihatkan peningkatan dari segi kesungguhan, komitmen, persefahaman dan keyakinan diri di kalangan pemainnya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang gembira dengan perkembangan itu menyatakan rasa syukur kerana ia menunjukkan hubungan di antara pemain dalam keadaan baik.

Kejayaan dan kekuatan sesebuah pasukan jelasnya adalah bergantung kepada semangat bersatu dan perpaduan antara pemain dan juga kepimpinan termasuk jurulatih.

Bagi melengkapkan sebuah pasukan yang lebih mantap Che Mat memberitahu, beberapa siri perlawanan persahabatan akan dilangsungkan termasuk pertandingan tiga penjuru di Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos ini.

''Kita berharap dengan penyertaan Terengganu di Pulau Pinang bersama pasukan tuan rumah dan Singapura bagi menguji keupayaan kita selain menambah pengalaman serta pendedahan di kalangan pemain sebelum ke Piala Malaysia,'' katanya.

Selepas itu menurut beliau, skuad Hitam Putih ini akan bertandang pula di empat gelanggang daerah di Terengganu untuk siri perlawanan persahabatan dengan pasukan daerah berkenaan.

Skuad negeri akan bertemu daerah Besut pada 27 Ogos diikuti Kemaman (5 September), Dungun (10 September) dan Hulu Terengganu (12 September).

Menurut Che Mat, perlawanan di peringkat daerah tersebut diadakan juga bertujuan memberi pendedahan kepada para pemain selain memperkenalkan pasukan negeri kepada para peminat tempatan.

''Usaha ini sekurang-kurangnya dapat menarik lebih banyak peminat untuk memberi sokongan kepada pemain skuad Liga Perdana pada setiap kali perlawanan di gelanggang sendiri,'' ujarnya.

Selain itu katanya, pemain-pemain daerah terbabit turut berpeluang beraksi bersama pemain skuad negeri di samping mencungkil bakat-bakat baru demi kemajuan sukan bola sepak negeri pada masa akan datang.

Malah menurutnya, persatuan bola sepak daerah juga dapat memanfaatkan peluang mengutip hasil tiket bagi menjayakan tabung masing-masing.

Che Mat menambah, sebagai program terakhir para pemain skuad negeri akan mengikuti kursus motivasi di Kuala Terengganu kemudiannya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KHE0DBGm © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Terengganu guna Chebli -- Bagi menghadapi pertandingan Piala Malaysia

ARKIB : 03/08/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan ia akan menggunakan khidmat bekas pemain import Perak, Samuel Chebli bagi menghadapi pertandingan Piala Malaysia.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, Chebli akan menggantikan Josef Kovach dari Hunggari yang ditamatkan kontraknya.

''Kita menamatkan kontrak Kovach berkuatkuasa semalam kerana pemain itu gagal menunjukkan persembahan terbaiknya bagi memuaskan hati para pegawai pasukan,'' katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata, PBSNT mengikat pemain berasal dari Liberia itu sehingga akhir tahun ini, dan kemungkinan disambung sekiranya prestasi memuaskan.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah bayaran kontrak Chebli dan juga pampasan yang diberi kepada Kovach.

Katanya, jurulatih Abdul Rahman Ibrahim berpuas hati dengan permainan Chebli setelah mengujinya.

Beliau berkata, PBSNT telah menyelesaikan masalah penamatan kontrak Kovach secara baik dan Kovach ternyata berpuas hati dengan kejujuran persatuan.

Kovach mula mewakili Terengganu pada pertandingan Liga Perdana musim ini dan sejak akhir-akhir ini pemain itu banyak berehat dan berada di bangku pemain simpanan kerana masalah kecederaan lama.

Che Mat berkata, kehadiran Chebli dijangka akan memberi nafas baru serta memperkuatkan pasukan Terengganu yang dibarisi pemain muda terutamanya di barisan serangan yang tumpul.

Beliau berkata, pendaftaran Chebli akan dibuat setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka pendaftaran pemain baru akhir bulan ini.

Menurutnya, para pemain diberi rehat selama 10 hari mulai kelmarin sebagai penghormatan di atas kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Liga Bahagian Dua.

Sementara itu, Che Mat berkata, pengurusan Liga Perdana Terengganu akan mengadakan mesyuarat dalam sehari dua ini bagi membincang persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia.

Katanya Terengganu mungkin mengadakan latihan dengan pasukan-pasukan tempatan sahaja memandangkan kejohanan itu akan bermula 26 September ini. _ Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD1Acxiu © Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu belum menyerah kalah

 
PEMAIN Terengganu Issey Farran Morgan Nakajima (kanan) antara nadi serangan Penyu.
Kuala Terengganu: Walaupun kembali berada dalam zon penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan, pengendali Terengganu Mustaffa Kamal Abd Wahab menegaskan beliau tidak sesekali mengangkat bendera putih kerana peluang buat pasukannya untuk terus kekal dalam kancah Liga Super masih terbuka.

Malah jurulatih berusia 39 tahun itu yang bergandingan dengan gurunya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor juga percaya dengan baki dua perlawanan lagi bertemu Kedah di Kuala Terengganu pada 24 September ini dan terakhir Pulau Pinang di laman lawan pada 22 Oktober depan selain ditambah pengalaman pemainnya, peluang skuad Penyu untuk kekal belum lagi tertutup.

Bagaimanapun bekas pemain Terengganu yang pernah membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 itu menyatakan keyakinan itu bersyarat iaitu skuad Penyu wajib menang dalam aksi kedua-dua perlawanan itu.

“Kami masih ada dua perlawanan lagi dan sekiranya berjaya mengutip mata penuh dalam dua aksi itu harapan Terengganu untuk terus kekal ke saingan Liga Super pasti cerah walaupun akan mendapat tentangan sengit daripada lawan terutama Pulau Pinang yang juga bergelut untuk kekal di Liga Super,” kata pengendali berasal dari Kuala Berang itu.

Pada perlawanan ke-20 liga Jumaat lalu, Terengganu yang mengidam untuk mengutip satu mata kecewa selepas tumpas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim walaupun mempamerkan aksi meyakinkan sebelum disentap lawan akibat sepakan penalti yang diperolehi skuad Harimau Selatan itu.

Ketika ditanya adakah anak buahnya kini berada dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan status gelaran pasukan utama negeri selepas pasukan ‘adik’ sudah sah kekal dalam saingan Liga Super musim depan, Mustaffa menolak tanggapan itu sebaliknya mengaku pemainnya semakin bersemangat untuk mencatat kemenangan dalam dua aksi penting itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:22 AM

Isnin, 12 September 2016

Terengganu kekal kuasai takhta liga

ARKIB : 04/07/1998
TERENGGANU masih mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana Dua meskipun hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka di Stadium Kubu, malam tadi.

Gol pasukan pelawat itu dijaringkan oleh Anuar Jusoh pada minit ke-36 menerusi tendangan percuma dengan menewaskan penjaga gol Melaka, B. Rajkumar.

Melaka bangkit menyamakan kedudukan hasil tendangan penalti yang disempurnakan oleh Moaoui Moncef pemain import dari Maghribi.

Tendangan penalti itu diperoleh selepas pemain Melaka, S. Sivaram dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Melaka lebih banyak menyerang dan percubaan terbaik mereka turut diperoleh menerusi Azrim Shah Zainal yang melakukan hantaran lintang tetapi tandukan Sivaram melepasi palang pada minit ke-43.

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah berusaha menambah gol tetapi gagal kerana tindakan penyudah yang tidak sempurna.

Pada minit ke-65, Terengganu menerusi bekas pemain Melaka Safian Wahid memperoleh peluang terbaik tetapi tendangannya melepasi pintu gol.

Melaka pula mendapat peluang keemasan pada minit ke-69 tetapi tendangan Moncef pula melepasi palang gol.

Di Stadium Larkin, tuan rumah Johor mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada pusingan kedua, apabila menumpaskan Polis 2-0.

Gol pembukaan Johor dijaringkan oleh pemain import dari Australia, Milan Blagojevic pada minit ke-42 dan Azmil Azali menyumbat gol kedua pada minit ke-75.

Pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Tentera gagal memanfaatkan kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila tunduk tipis 1-0 kepada Kelantan.

Pasukan pelawat bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-77, sebelum memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi pemain import, Luiz Pozzutto.

Kelantan hampir mendahului pada minit ke-15 menerusi usaha solo Pozzutto yng menggelecek bola melintasi tiga pemain pertahanan, tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Tentera, Zulhisham Othman.

Pasukan pelawat akhirnya mendapat gol pembukaan menerusi Pozzutto dan Alif Rohaimi Azihan bagi mendahului 1-0 pada minit ke-77.

Pozzutto yang menerima bola terus menggelecek dan melakukan hantaran satu-dua dengan Alif Rohaimi sebelum merembat bola kencang yang gagal diselamatkan Zulhisham.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi NS Chempaka menumpaskan Johor FC 2-0.

NS Chempaka mendahului pada minit ke-85, hasil kesilapan pertahanan lawn Adi Azizee Othman yang menyumbat masuk gol sendiri.

Dua minit kemudian penyerang import tuan rumah, Stephen Abarowei memastikan kemenangan 2-0.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K2LzQ8Dy © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 September 2016

Terengganu dahului Perdana Dua

ARKIB : 25/06/1998
TIADA lagi pasukan yang mampu menggugat Terengganu untuk terus bertakhta di puncak Perdana Dua musim ini, lapor WAN ABD. RAHMAN HAYAT.

Kemenangan ke atas Tentera 2-1 Jumaat lalu membuktikan pasukan penyu itu begitu sukar digugat oleh pasukan lain dalam Perdana Dua.

Setelah menghabiskan pusingan pertama tanpa banyak saingan dengan 19 mata dari 17 perlawanan, tugas mereka dimudahkan lagi apabila lima dari enam perlawanan pusingan kedua di tempat sendiri.

Hanya Melaka yang menunggu pasukan hitam putih itu di tempat mereka 2 Julai selebihnya agak mudah apabila melayani Johor, Johor FC, Polis, Kelantan, NS Cempaka di tempat sendiri.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya setakat ini serta berharap akan kekal sehingga penghujung liga.

''Setakat ini mereka telah menjalankan tugas dengan baik, saya berharap mereka terus akan bertindak cemerlang,'' ujarnya.

Che Mat juga mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah lawan-lawannya selepas ini kerana sikap itu bakal memerangkap diri sendiri.

Katanya, pemain muda seperti Wan Ahmad Ridzuan, Badrul Afzan Razali semakin baik permainan mereka setelah menjalani latihan yang agak panjang.

Beliau juga berharap pemain ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi lawan yang lebih kuat selepas ini.

''Saya yakin Terengganu terus berada di puncak liga jika pemain terus mengekalkan prestasi mereka serta berusaha untuk mencapai kejayaan pada setiap permainan,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K1FAjWZm © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 September 2016

Terengganu masih belum selamat - Rahman

ARKIB : 14/05/1998
Terengganu masih belum selamat - Rahman
WALAUPUN Terengganu nampak semakin hebat meninggal jauh pasukan lain untuk mengunguli Perdana dua setakat ini, namun bagi jurulatihnya Abdul Rahman Ibrahim kedudukan itu masih belum selamat, lapor WAN ABD RAHMAN HAYAT.

''Perjalanan masih jauh, apa pun boleh berlaku, yang penting ialah dimana kedudukan kita diakhir liga nanti,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Jurulatih itu mengharapkan pemainnya terus menanam semangat yang kuat untuk menang supaya matlamat mereka menaikan kembali imej Terengganu akan tercapai.

''Saya dibawa pulang untuk memulihkan imej pasukan Hitam Putih musim ini dan mereka harus memikul tanggungjawab yang sama,'' tambahnya.

Beliau mengakui Terengganu belum menemui lawan sebenar tetapi tetap mengambil pendirian bahawa setiap pasukan yang ditemui mempunyai kelebihan tersendiri.

Setakat ini Pasukan Hitam Putih itu melalui lima perlawanan tanpa kalah untuk memungut 15 mata-menang dengan Tentera 5-0, Melaka 5-1, NS Cempaka 3-0, Johor 2-1 dan Polis 2-0.

Abdul Rahman berkata, pemain-pemain telah diarah supaya mengekalkan pencapaian sekarang kerana dengan itu sahaja keyakinan mereka akan bertambah kuat.

Katanya sebarang perubahan mood pada diri pemain atau masalah kecederaan pasti akan memberi kesan kepada pasukan.

Katanya, setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan segala masalah dapat diatasi termasuk masalah kecederaan yang dialami oleh tonggak utama Seidu Issifu.

Abdul Rahman melahirkan kagum dengan kesunguhan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menaikkan semula nama pasukan Hitam Putih itu.

Keberanian mereka membawa masuk Yusof Manggut untuk mengisi tempat Seidu membakar semangatnya untuk terus membawa Terengganu ke puncak jaya.

''Mereka semakin profsional, mereka tidak mahu mengambil risiko dengan ketiadaan Seidu dan kesungguhan mereka itu seharusnya memakar semangat semua orang,'' ujarnya.

Tambahnya, mengambil Yusof Manggut bukan bermakna PBSNT tidak percaya dengan kebolehan pemain yang ada tetapi mereka masih perlukan bimbingan pemain yang berpengalaman.

''Apa yang peting sekarang pemain harus memikirkan yang positif iaitu mempertahankan kedudukan pasukan supaya tidak terjejas,'' ujarnya.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JO3r5yo9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 September 2016

Terengganu kini pencabar kuat

ARKIB : 04/05/1998
KETIKA pasukan lain dilanda pelbagai masalah, Terengganu pula bijak mengambil kesempatan untuk melonjakkan diri ke puncak Liga Perdana Dua.

Tanpa kalah dalam empat perlawanan meletakkan pasukan Hitam Putih itu di tangga teratas dengan 12 mata.

Apa pun harus diakui Terengganu adalah antara pencabar yang terkuat dalam Perdana Dua sekali gus mampu menguasai liga setakat ini.

''Saya percaya semua itu hasil kekuatan pasukan dan kesungguhan pemain untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan,'' ujar pengurus Pasukan Datuk Che Mat Jusoh ketika ditemui semalam.

Beliau yang begitu bangga dengan kesungguhan pemainnya berkata, kemampuan mereka mencipta kemenangan di tempat lawan membuktikan pasukannya semakin baik.

Walapun begitu Che Mat berharap pemainnya tidak leka dengan kedudukan sekarang kerana perjalanan masih terlalu jauh.

Sehubungan itu katanya, pemain-pemain perlu terus membaiki persembahan supaya kejayaan akan terus bersama mereka. ''Pasukan lain pastinya sedang berusaha membaiki prestasi masing-masing untuk mengatasi kita,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JG9cyCab © Utusan Melayu (M) Bhd