Selasa, 13 September 2016

Terengganu guna Chebli -- Bagi menghadapi pertandingan Piala Malaysia

ARKIB : 03/08/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan ia akan menggunakan khidmat bekas pemain import Perak, Samuel Chebli bagi menghadapi pertandingan Piala Malaysia.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, Chebli akan menggantikan Josef Kovach dari Hunggari yang ditamatkan kontraknya.

''Kita menamatkan kontrak Kovach berkuatkuasa semalam kerana pemain itu gagal menunjukkan persembahan terbaiknya bagi memuaskan hati para pegawai pasukan,'' katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata, PBSNT mengikat pemain berasal dari Liberia itu sehingga akhir tahun ini, dan kemungkinan disambung sekiranya prestasi memuaskan.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah bayaran kontrak Chebli dan juga pampasan yang diberi kepada Kovach.

Katanya, jurulatih Abdul Rahman Ibrahim berpuas hati dengan permainan Chebli setelah mengujinya.

Beliau berkata, PBSNT telah menyelesaikan masalah penamatan kontrak Kovach secara baik dan Kovach ternyata berpuas hati dengan kejujuran persatuan.

Kovach mula mewakili Terengganu pada pertandingan Liga Perdana musim ini dan sejak akhir-akhir ini pemain itu banyak berehat dan berada di bangku pemain simpanan kerana masalah kecederaan lama.

Che Mat berkata, kehadiran Chebli dijangka akan memberi nafas baru serta memperkuatkan pasukan Terengganu yang dibarisi pemain muda terutamanya di barisan serangan yang tumpul.

Beliau berkata, pendaftaran Chebli akan dibuat setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka pendaftaran pemain baru akhir bulan ini.

Menurutnya, para pemain diberi rehat selama 10 hari mulai kelmarin sebagai penghormatan di atas kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Liga Bahagian Dua.

Sementara itu, Che Mat berkata, pengurusan Liga Perdana Terengganu akan mengadakan mesyuarat dalam sehari dua ini bagi membincang persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia.

Katanya Terengganu mungkin mengadakan latihan dengan pasukan-pasukan tempatan sahaja memandangkan kejohanan itu akan bermula 26 September ini. _ Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD1Acxiu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan