Rabu, 14 September 2016

Terengganu kian yakin hadapi Piala Malaysia

ARKIB : 19/08/1998
KEMENANGAN 4-1 skuad Liga Perdana Terengganu ketika bertemu pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur malam semalam memberi kelegaan dan keyakinan para pemain dan pihak pengurusan dalam mengharungi Piala Malaysia, lapor RADHUAN HUSSAIN.

Menurut pengurus skuad Penyu itu, Datuk Che Mat Jusoh, kejayaan tersebut memperlihatkan peningkatan dari segi kesungguhan, komitmen, persefahaman dan keyakinan diri di kalangan pemainnya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang gembira dengan perkembangan itu menyatakan rasa syukur kerana ia menunjukkan hubungan di antara pemain dalam keadaan baik.

Kejayaan dan kekuatan sesebuah pasukan jelasnya adalah bergantung kepada semangat bersatu dan perpaduan antara pemain dan juga kepimpinan termasuk jurulatih.

Bagi melengkapkan sebuah pasukan yang lebih mantap Che Mat memberitahu, beberapa siri perlawanan persahabatan akan dilangsungkan termasuk pertandingan tiga penjuru di Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos ini.

''Kita berharap dengan penyertaan Terengganu di Pulau Pinang bersama pasukan tuan rumah dan Singapura bagi menguji keupayaan kita selain menambah pengalaman serta pendedahan di kalangan pemain sebelum ke Piala Malaysia,'' katanya.

Selepas itu menurut beliau, skuad Hitam Putih ini akan bertandang pula di empat gelanggang daerah di Terengganu untuk siri perlawanan persahabatan dengan pasukan daerah berkenaan.

Skuad negeri akan bertemu daerah Besut pada 27 Ogos diikuti Kemaman (5 September), Dungun (10 September) dan Hulu Terengganu (12 September).

Menurut Che Mat, perlawanan di peringkat daerah tersebut diadakan juga bertujuan memberi pendedahan kepada para pemain selain memperkenalkan pasukan negeri kepada para peminat tempatan.

''Usaha ini sekurang-kurangnya dapat menarik lebih banyak peminat untuk memberi sokongan kepada pemain skuad Liga Perdana pada setiap kali perlawanan di gelanggang sendiri,'' ujarnya.

Selain itu katanya, pemain-pemain daerah terbabit turut berpeluang beraksi bersama pemain skuad negeri di samping mencungkil bakat-bakat baru demi kemajuan sukan bola sepak negeri pada masa akan datang.

Malah menurutnya, persatuan bola sepak daerah juga dapat memanfaatkan peluang mengutip hasil tiket bagi menjayakan tabung masing-masing.

Che Mat menambah, sebagai program terakhir para pemain skuad negeri akan mengikuti kursus motivasi di Kuala Terengganu kemudiannya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KHE0DBGm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan