PEMAIN Terengganu Issey Farran Morgan Nakajima (kanan)
antara nadi serangan Penyu.
Kuala Terengganu: Walaupun kembali berada dalam zon
penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan, pengendali Terengganu
Mustaffa Kamal Abd Wahab menegaskan beliau tidak sesekali mengangkat bendera
putih kerana peluang buat pasukannya untuk terus kekal dalam kancah Liga Super
masih terbuka.
Malah jurulatih berusia 39 tahun itu yang bergandingan
dengan gurunya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor juga percaya dengan baki dua
perlawanan lagi bertemu Kedah di Kuala Terengganu pada 24 September ini dan
terakhir Pulau Pinang di laman lawan pada 22 Oktober depan selain ditambah
pengalaman pemainnya, peluang skuad Penyu untuk kekal belum lagi tertutup.
Bagaimanapun bekas pemain Terengganu yang pernah membantu
pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 itu menyatakan
keyakinan itu bersyarat iaitu skuad Penyu wajib menang dalam aksi kedua-dua
perlawanan itu.
“Kami masih ada dua perlawanan lagi dan sekiranya berjaya
mengutip mata penuh dalam dua aksi itu harapan Terengganu untuk terus kekal ke
saingan Liga Super pasti cerah walaupun akan mendapat tentangan sengit daripada
lawan terutama Pulau Pinang yang juga bergelut untuk kekal di Liga Super,” kata
pengendali berasal dari Kuala Berang itu.
Pada perlawanan ke-20 liga Jumaat lalu, Terengganu yang
mengidam untuk mengutip satu mata kecewa selepas tumpas 0-3 kepada Johor Darul
Ta’zim walaupun mempamerkan aksi meyakinkan sebelum disentap lawan akibat
sepakan penalti yang diperolehi skuad Harimau Selatan itu.
Ketika ditanya adakah anak buahnya kini berada dalam
keadaan tertekan untuk mengekalkan status gelaran pasukan utama negeri selepas
pasukan ‘adik’ sudah sah kekal dalam saingan Liga Super musim depan, Mustaffa
menolak tanggapan itu sebaliknya mengaku pemainnya semakin bersemangat untuk
mencatat kemenangan dalam dua aksi penting itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September
2016 @ 8:22 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan