Isnin, 12 September 2016

Terengganu kekal kuasai takhta liga

ARKIB : 04/07/1998
TERENGGANU masih mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana Dua meskipun hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka di Stadium Kubu, malam tadi.

Gol pasukan pelawat itu dijaringkan oleh Anuar Jusoh pada minit ke-36 menerusi tendangan percuma dengan menewaskan penjaga gol Melaka, B. Rajkumar.

Melaka bangkit menyamakan kedudukan hasil tendangan penalti yang disempurnakan oleh Moaoui Moncef pemain import dari Maghribi.

Tendangan penalti itu diperoleh selepas pemain Melaka, S. Sivaram dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Melaka lebih banyak menyerang dan percubaan terbaik mereka turut diperoleh menerusi Azrim Shah Zainal yang melakukan hantaran lintang tetapi tandukan Sivaram melepasi palang pada minit ke-43.

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah berusaha menambah gol tetapi gagal kerana tindakan penyudah yang tidak sempurna.

Pada minit ke-65, Terengganu menerusi bekas pemain Melaka Safian Wahid memperoleh peluang terbaik tetapi tendangannya melepasi pintu gol.

Melaka pula mendapat peluang keemasan pada minit ke-69 tetapi tendangan Moncef pula melepasi palang gol.

Di Stadium Larkin, tuan rumah Johor mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada pusingan kedua, apabila menumpaskan Polis 2-0.

Gol pembukaan Johor dijaringkan oleh pemain import dari Australia, Milan Blagojevic pada minit ke-42 dan Azmil Azali menyumbat gol kedua pada minit ke-75.

Pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Tentera gagal memanfaatkan kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila tunduk tipis 1-0 kepada Kelantan.

Pasukan pelawat bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-77, sebelum memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi pemain import, Luiz Pozzutto.

Kelantan hampir mendahului pada minit ke-15 menerusi usaha solo Pozzutto yng menggelecek bola melintasi tiga pemain pertahanan, tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Tentera, Zulhisham Othman.

Pasukan pelawat akhirnya mendapat gol pembukaan menerusi Pozzutto dan Alif Rohaimi Azihan bagi mendahului 1-0 pada minit ke-77.

Pozzutto yang menerima bola terus menggelecek dan melakukan hantaran satu-dua dengan Alif Rohaimi sebelum merembat bola kencang yang gagal diselamatkan Zulhisham.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi NS Chempaka menumpaskan Johor FC 2-0.

NS Chempaka mendahului pada minit ke-85, hasil kesilapan pertahanan lawn Adi Azizee Othman yang menyumbat masuk gol sendiri.

Dua minit kemudian penyerang import tuan rumah, Stephen Abarowei memastikan kemenangan 2-0.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K2LzQ8Dy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan