ARKIB : 25/06/1998
TIADA lagi pasukan yang mampu
menggugat Terengganu untuk terus bertakhta di puncak Perdana Dua musim ini,
lapor WAN ABD. RAHMAN HAYAT.
Kemenangan ke atas Tentera 2-1
Jumaat lalu membuktikan pasukan penyu itu begitu sukar digugat oleh pasukan
lain dalam Perdana Dua.
Setelah menghabiskan pusingan
pertama tanpa banyak saingan dengan 19 mata dari 17 perlawanan, tugas mereka
dimudahkan lagi apabila lima dari enam perlawanan pusingan kedua di tempat
sendiri.
Hanya Melaka yang menunggu
pasukan hitam putih itu di tempat mereka 2 Julai selebihnya agak mudah apabila
melayani Johor, Johor FC, Polis, Kelantan, NS Cempaka di tempat sendiri.
Pengurus pasukan, Datuk Che Mat
Jusoh berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya setakat ini
serta berharap akan kekal sehingga penghujung liga.
''Setakat ini mereka telah
menjalankan tugas dengan baik, saya berharap mereka terus akan bertindak cemerlang,''
ujarnya.
Che Mat juga mengingatkan
pemainnya supaya tidak memandang rendah lawan-lawannya selepas ini kerana sikap
itu bakal memerangkap diri sendiri.
Katanya, pemain muda seperti
Wan Ahmad Ridzuan, Badrul Afzan Razali semakin baik permainan mereka setelah
menjalani latihan yang agak panjang.
Beliau juga berharap pemain ini
sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing supaya mereka lebih
bersedia untuk menghadapi lawan yang lebih kuat selepas ini.
''Saya yakin Terengganu terus berada
di puncak liga jika pemain terus mengekalkan prestasi mereka serta berusaha
untuk mencapai kejayaan pada setiap permainan,'' ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K1FAjWZm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan