ARKIB : 13/06/2011
Ahmad Nordin Alias meraikan jaringan kemenangan
Terengganu pada masa tambahan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan
di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Nama Ahmad Nordin Alias, 26,
mungkin tidak segah pemain lain seperti Abdul Hadi Yahaya dan Ashaari Samsudin
dalam skuad Terengganu.
Ahmad Nordin lebih banyak dalam senarai memanaskan
bangku simpanan, namun kelmarin dia muncul beraksi di padang pada saat cukup
getir dan menghadiah sesuatu yang cukup besar maknanya bagi diri sendiri dan
negeri.
Anak muda kelahiran Medan Jaya, Marang itu mencuri
tumpuan dan namanya menjadi sebutan apabila jaringannya pada minit ke-109 dalam
final Piala FA kelmarin membolehkan skuad Penyu menundukkan Kelantan 2-1.
Terengganu meraih kejuaraan Piala FA yang pertama
dalam tempoh 11 tahun dalam perlawanan bersejarah, disaksikan lebih 85,000
penonton, bilangan paling ramai dalam sejarah perlawanan akhir Piala FA.
Namanya pasti akan terus meniti di setiap bibir
penyokong setia skuad Penyu disebabkan jaringan yang telah meranapkan impian
puluhan ribu penyokong skuad Red Warriors.
Menurut bekas pemain Kuala Muda Naza itu, jaringan
kemenangan kelmarin hadir tanpa disangka ketika tumpuan lebih diarahkan kepada
pemain lain termasuk Abdul Manaf Mamat untuk menghasilkan gol.
"Alhamdulillah, saya dapat juga menjaringkan
gol pada perlawanan akhir ini. Ini semua adalah hasil kerjasama semua pemain.
"Begitu juga dengan sorakan padu penyokong.
Tanpa mereka, mungkin kurang bersemangat," kata pemain yang mula menyarung
jersi Terengganu sejak tahun 2008 itu.
Jelas Ahmad Nordin lagi, pada awalnya, dia agak
gugup memandangkan ini kali pertama dia beraksi di pentas final.
Bagaimanapun katanya, lama-kelamaan perasaan itu
semakin hilang dan dia semakin berkeyakinan untuk menguasai bola.
"Saya harap semangat ini dapat diteruskan pada
saingan liga kerana kita masih ada baki dua perlawanan lagi," kata pemain
yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashaari dalam perlawanan akhir itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eMPxXqv4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan