ARKIB : 09/06/2011
Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU - "Saya berjanji tidak akan
ulangi kesilapan yang sama dan akan beri tumpuan 110 peratus pada final Piala
FA nanti,".
Itu kata penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee
Ramli, 25, yang dikritik jurulatih sendiri, Irfan Bakti kerana melepaskan dua
gol mudah ketika skuad Penyu kalah 0-3 kepada Kelantan pada perlawanan Liga
Super, Isnin lalu.
Menurut Sharbinee, dia tidak akan membiarkan
kekesalan menghantuinya dan bertekad melupakan aksi yang mengecewakan ribuan
penyokong ketika menentang Kelantan.
Sharbinee, yang ditemui semasa sesi latihan
terakhir petang semalam, tidak menunjukkan reaksi tergugat dengan kekalahan 0-3
kepada Kelantan.
Dua daripada jaringan pasukan lawan Isnin lalu
dikaitkan dengan kesilapannya, yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan sebagai
penjaga gol kebangsaan.
Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, dia akan
melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir dan tidak akan membiarkan 'pisang
berbuah dua kali'.
"Semua pemain termasuk saya tidak dapat
beraksi dengan baik ketika kami kalah 0-3 kepada Kelantan tempoh hari.
"Namun perlu diingat, suasana beraksi pada
final nanti sangat berbeza berbanding perlawanan liga dan kami akan bangkit
semula selepas ini," katanya.
Sharbinee dikritik kerana didakwa menjadi punca
kepada kekalahan skuad Penyu kepada Red Warriors Isnin lalu, gara-gara
meninggalkan gawang terlalu jauh sehingga memudahkan lawan menjaringkan gol.
Sharbinee menganggap kritikan yang dilemparkan
terhadapnya sebagai satu cabaran untuk dia meningkatkan tahap permainan pada
final nanti.
Katanya, dia akan memberikan yang terbaik sekiranya
diturunkan jurulatih, Irfan Bakti pada perlawanan Sabtu ini.
"Secara peribadi, final Piala FA ini adalah
final pertama dalam karier saya sebagai seorang pemain bola sepak Terengganu.
"Jadi, saya berharap kami akan menewaskan
Kelantan nanti," katanya.
Sharbinee merupakan sebahagian daripada anggota
skuad Bawah 23 negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eM8CnXNN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan