Rabu, 13 November 2019

TFC ikat Nasir, Arif


MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
TERENGGANU FC (TFC) kian bernafsu apabila mengikat bekas arkitek skuad kebangsaan, Nasir Basharuddin dan bekas bek kental FELDA United, Arif Fadzillah Abu Bakar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dalam kenyataan media dikeluarkan media rasmi TFC, kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.

Pengalaman luas dimiliki dua pemain itu berjaya menarik minat barisan jurulatih TFC untuk ‘merantai’ pemain itu.

Nasir, 29, adalah bekas ketua pasukan dan pemain tonggak Perak manakala Arif, 23, adalah bekas pemain T-Team sebelum beraksi bersama pasukan TFC II (2018) dan kemudian mewakili FELDA United pada musim ini.

Arif yang pernah menyarung jersi skuad bawah 23 tahun kebangsaan adalah anak jati Kampung Kubu, Marang dan antara pemain kesayangan bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.

“Mereka memiliki pengalaman luas dalam kancah liga tempatan khususnya Nasir yang pernah menyarung jersi Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujar ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain.

“Arif akan mengukuhkan bahagian pertahanan manakala kemasukan Nasir pastinya memantapkan lagi jentera tengah TFC.”

Kehadiran dua pemain itu bakal mengisi posisi yang ditinggalkan bek kiri, Adib Aizuddin Ab Latif dan pemain tengah kelahiran Selangor, Khairu Azrin Khazali.

Sebelum ini, TFC pantas mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli bagi menggantikan Thierry Chantha Bin dari Kemboja bagi kuota Asean.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:40 PM


Khamis, 7 November 2019

Terengganu tunjuk petanda positif


MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
KEJAYAAN merangkul trofi dalam Kejohanan Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal di Chittagong, Bangladesh edisi ketiga kelmarin memberi petanda positif buat skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kapten TFC, Lee Tuck mengakui gembira dengan prestasi rakan sepasukan dalam kejohanan itu walaupun ketua jurulatih, Nafuzi Zain tidak membawa kesebelasan utama pasukan.

"Saya begitu gembira apabila bergelar juara kerana bukan senang untuk bermain menentang pasukan terbaik dari lima negara lain termasuk India dan Bangladesh dalam kejohanan jemputan itu.

"Kami tetap beraksi dengan baik dan tidak menganggap ia sebagai sesi pemanas badan sebelum bermulanya liga tahun depan kerana kami datang dengan misi untuk menimba pengalaman dan menikmati jelajah ini dengan permainan menarik.

"Kami bermain lima perlawanan dalam tempoh sembilan hari, jadi kami perlu kekalkan kekuatan mental dan fizikal kami.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan betapa Liga M mempunyai kualitinya yang tersendiri kerana kami bukan hanya mewakili Terengganu tetapi Malaysia," katanya.


Pemain skuad Terengganu. FOTO fb TFC
Dalam kejohanan itu, pemain berdarah campuran England-Malaysia itu meraih dua gelaran termasuk penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak enam gol dan pemain terbaik kejohanan.

Sebanyak lima negara menyertai kejohanan itu antaranya Malaysia, India, Laos, Maldives serta tuan rumah, Bangladesh.

Pada perlawanan akhir, TFC menumpaskan pasukan tuan rumah, Abahoni Limited 2-1 hasil jaringan pemain muda meningkat naik, Hairiey Hakim Mamat dan Azalinullah Alias.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 12:05 PM


Sabtu, 16 Februari 2019

Liga Super: Mentaliti kuat pemain TFC I asak JDT dipuji


MOHD. AZLI ADLAN
16 Februari 2019 11:23 AM
Gawang JDT diasak bertubi-tubi pada minit-minit akhir perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail
Gawang JDT diasak bertubi-tubi pada minit-minit akhir perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. Foto oleh AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU - Kebangkitan mengagumkan pemain Terengganu Football Club I (TFC I) pada minit-minit terakhir perlawanan sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Johor Darul Ta-zim (JDT) 2-2 pada aksi ketiga Liga Super semalam mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, anak buahnya telah mempamerkan mentaliti kuat untuk terus menekan JDT yang juara bertahan Liga Super biar pun ketinggalan 1-2 sehingga minit ke-89  dan dihimpit pelbagai keputusan kontroversi pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

"Walaupun ketinggalan, pemain-pemain saya masih bersemangat untuk mencari gol penyamaan. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan anak buah saya biar pun sekadar seri.

"Kita juga hampir menang namun jaringan (Nasrullah Haniff Johan) pada masa kecederaan dibatalkan dan ia memang offside. Selain pada itu, saya malas hendak komen kerana lebih 10,000 penyokong di stadium telah menyaksikannya sendiri," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Irfan Bakti berkata, beliau juga berterima kasih atas sokongan padu penyokong tegar TFC I yang secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi semangat anak buahnya untuk mengasak JDT sepanjang perlawanan. - K! ONLINE16 Februari 2019 11:23 AM


Sabtu, 2 Februari 2019

Sambutan wira juara Piala FA

ARKIB : 13/06/2011
 
Ketua pasukan, Marzuki Yusof mengetuai konvoi perarakan pemain Terengganu yang membawa trofi Piala FA dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Dataran Shahbandar Kuala Terengganu, semalam. - utusan/ Shaifudin Mohd. Nor

KUALA TERENGGANU - Lebih 5,000 orang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam bagi menyambut kepulangan wira mereka bersama trofi Piala FA selepas mengalahkan Kelantan 2-1 pada final kelmarin.

Skuad penyu itu tiba di LTSM kira-kira pukul 4 petang sambil menjulang trofi Piala FA.

Menyertai kumpulan pemain termasuk Pengurus yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh; Setiausaha, Abdullah Salleh serta jurulatih pasukan, Irfan Bakti Alias.

Mereka kemudian menaiki konvoi pacuan empat roda yang diarak sambil diiringi para penyokong dari Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) menuju ke Dataran Shahbandar, di sini.

Para pemain serta pegawai pasukan seterusnya diraikan pada satu majlis khas di Dataran Shahbandar yang turut disertai lebih 5,000 orang yang mahu menatap wajah wira-wira mereka bersama Piala FA dengan lebih dekat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eMQZ0HW6 

Nordin daripada pemain simpanan jadi wira Terengganu


ARKIB : 13/06/2011
 
Ahmad Nordin Alias meraikan jaringan kemenangan Terengganu pada masa tambahan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Nama Ahmad Nordin Alias, 26, mungkin tidak segah pemain lain seperti Abdul Hadi Yahaya dan Ashaari Samsudin dalam skuad Terengganu.

Ahmad Nordin lebih banyak dalam senarai memanaskan bangku simpanan, namun kelmarin dia muncul beraksi di padang pada saat cukup getir dan menghadiah sesuatu yang cukup besar maknanya bagi diri sendiri dan negeri.

Anak muda kelahiran Medan Jaya, Marang itu mencuri tumpuan dan namanya menjadi sebutan apabila jaringannya pada minit ke-109 dalam final Piala FA kelmarin membolehkan skuad Penyu menundukkan Kelantan 2-1.

Terengganu meraih kejuaraan Piala FA yang pertama dalam tempoh 11 tahun dalam perlawanan bersejarah, disaksikan lebih 85,000 penonton, bilangan paling ramai dalam sejarah perlawanan akhir Piala FA.

Namanya pasti akan terus meniti di setiap bibir penyokong setia skuad Penyu disebabkan jaringan yang telah meranapkan impian puluhan ribu penyokong skuad Red Warriors.

Menurut bekas pemain Kuala Muda Naza itu, jaringan kemenangan kelmarin hadir tanpa disangka ketika tumpuan lebih diarahkan kepada pemain lain termasuk Abdul Manaf Mamat untuk menghasilkan gol.

"Alhamdulillah, saya dapat juga menjaringkan gol pada perlawanan akhir ini. Ini semua adalah hasil kerjasama semua pemain.

"Begitu juga dengan sorakan padu penyokong. Tanpa mereka, mungkin kurang bersemangat," kata pemain yang mula menyarung jersi Terengganu sejak tahun 2008 itu.

Jelas Ahmad Nordin lagi, pada awalnya, dia agak gugup memandangkan ini kali pertama dia beraksi di pentas final.

Bagaimanapun katanya, lama-kelamaan perasaan itu semakin hilang dan dia semakin berkeyakinan untuk menguasai bola.

"Saya harap semangat ini dapat diteruskan pada saingan liga kerana kita masih ada baki dua perlawanan lagi," kata pemain yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashaari dalam perlawanan akhir itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eMPxXqv4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain gantian wira Terengganu


ARKIB : 12/06/2011
 
PEMAIN Terengganu meraikan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR– Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira Terengganu apabila gol kemenangannya pada minit ke-109 masa tambahan membawa skuad Putih Hitam itu menjulang Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang dramatik, semalam.

Dia yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashari, merembat masuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas mendapat umpanan tandukan Joseph Kallang Tie daripada satu sepakan sudut sebelah kiri.

Terdahulu perlawanan itu terikat 1-1 selepas 90 minit permainan masa sebenar dengan Kelantan membuka tirai gol menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 sebelum diikat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringan sendiri Daudsu Jamaludin.

Nurul Azwan menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli menerusi sepakan lambung selepas melakukan larian kencang dan menyambung lorongan bola daripada Shakir Shaari pada minit ke-79.

Ketika perlawanan berlanjutan ke masa kecederaan lima minit dan mencecah penghujungnya dan seolah-olah Kelantan akan merangkul trofi itu kali pertama, anak buah Datuk M. Karathu dikejutkan dengan gerakan Abdul Manaf dari sebelah kanan.

Penyerang Terengganu itu mengutip lorongan bola daripada Ashari Samsudin dari sebelah kanan sebelum menolak menewaskan Khairul Fahmi yang kemudiannya tertanduk ke gawang Kelantan oleh pemainnya, Daudsu.

Kejayaan menjulang trofi pertandingan kalah mati kebangsaan itu sekali gus mengulangi kejayaan Sang Penyu melakukannya buat kali terakhir pada 2000 dengan menewaskan Pulau Pinang menerusi penentuan penalti 4-3.

Menariknya ialah Piala FA kali ini dimenangi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang secara kebetulan berasal dari Kelantan dan melatih Pulau Pinang yang ditewaskan lawan dalam perlawanan akhir, 11 tahun lalu.

Sebaliknya kekalahan tipis ini langsung meranapkan impian Kelantan untuk menambah koleksi gelaran kedua Liga Malaysia musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0 pada awal tahun.

Kelantan turut terus kempunan Piala FA selepas dihampakan Selangor menerusi penentuan penalti 4-1 juga di Bukit Jalil, dua tahun lalu selepas mereka terikat 1-1.

Perlawanan akhir edisi ke-22 ini turut disaksikan oleh tetamu kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, jurulatih Terengganu Irfan Bakti memuji pemain yang bangkit untuk menenangi perlawanan.

“Pemain berjuang sehingga ke minit akhir (masa sebenar) untuk mencari gol penyamaan dan mengheret permainan ke masa tambahan, seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.

Jurulatih Kelantan, Karathu pula mengakui jaringan penyamaan pada minit akhir masa kecederaan, melemahkan semangat pemain.

“Apabila permainan berlanjutan ke masa tambahan, adalah sukar untuk pemain mengekalkan semangat seperti masa pada masa sebenar,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMNpgzL9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hadi, Manaf yakin bolosi gawang


ARKIB : 11/06/2011
 
ABDUL Hadi menjadi harapan skuad Penyu untuk meledakkan gol pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

KUALA TERENGGANU - Jika aksi ketika tewas 0-3 di tangan Kelantan dalam saingan liga tempoh hari dijadikan ukuran, baik Abdul Hadi Yahaya mahupun Manaf Mamat, kedua-duanya nyata gagal memberikan sentuhan penyudah yang berkesan selaku penyerang.

Hadi umpamanya dilihat seakan hilang punca di tengah padang meskipun beraksi cemerlang ketika menyumbat gol untuk skuad kebangsaan bagi mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan terdahulu, manakala Manaf pula kerap kehilangan bola dan gagal berfungsi seperti biasa pada malam itu.

Justeru, ramai pihak beranggapan bahawa kedua-dua penyerang itu sukar untuk mencipta peluang sebaliknya bergantung harap kepada umpanan pemain sayap kiri iaitu Ashaari Samsudin.

Secara kebetulan, Ashaari pula tidak dapat diturunkan pada malam itu kerana digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning kedua.

Namun, kembalinya Ashaari daripada penggantungan menjelang final Piala FA, hari ini dilihat petanda baik untuk ketiga-tiga mereka kembali membentuk rangkaian serangan terbaik.

Hadi ketika ditemui mengakui bahawa aksinya ketika menentang Kelantan pada malam itu tidak begitu menjadi dan dia gagal mengekalkan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan.

"Bagaimanapun, saya akan main sebaik mungkin dan cuba cari gol awal jika diturunkan pada final nanti," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Sementara itu, Manaf turut melafazkan janji yang sama untuk memberikan persembahan terbaik pada malam esok.

"Saya harap penyokong juga akan terus 'support' kami dari belakang dan lupakanlah apa yang telah berlaku sebelum ini (kalah kepada Kelantan)," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eMN1SP2V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA milik siapa?


ARKIB : 11/06/2011
Piala FA milik siapa?
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
MILIK siapa... Badhri Radzi (kanan) dan Mazuki Yusof bersama trofi Piala FA yang menjadi rebutan, malam ini.

KUALA LUMPUR – Ketika Kelantan berkeras bahawa kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Super, Isnin lalu bukan sekadar nasib, Terengganu pula menegaskan, perlawanan akhir Piala FA malam ini adalah cerita baru dan kekalahan enam hari lalu sama sekali tidak akan berulang.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof menegaskan, keputusan di Kuala Terengganu itu tidak boleh diambil kira apabila pasukannya melayani skuad Kijang sekali lagi, kali ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah tegasnya lagi, skuad Penyu telah memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kekalahan tempoh hari, malah beliau percaya, situasi Piala FA dan Liga Super jauh berbeza.

Namun bagi ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, kemenangan Isnin lalu bukan kerana nasib, disebabkan lawan tidak dapat menurunkan tonggak utama, sebaliknya mereka terbukti pasukan yang lebih baik.

Pertembungan akhir klasik antara dua negeri berjiran itu amat dinantikan penyokong fanatik mereka kerana ini merupakan kali pertama Kelantan dan Terengganu bertemu dalam mana-mana perlawanan akhir.

“Saya tidak menganggap kemenangan ke atas Terengganu sebelum ini sekadar nasib kerana mereka tidak dapat menurunkan Ashaari (Shamsuddin). Kami akan membuktikan Kelantan adalah yang terbaik pada perlawanan akhir .

“Saya berpesan kepada rakan-rakan agar mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu, terutama dengan kepulangan semula Ashaari,” kata Badhri.

Menurut Badhri, yang turut dikenali sebagai Piya, dia mahu membantu pasukannya menjulang piala yang diperkenalkan pada 1990 buat pertama kali sekali gus memadam kekecewaan final 2009 tewas kepada Selangor.

Sementara Marzuki pula optimis Terengganu mampu membawa kejuaraan, meskipun sedar pasukannya tidak memiliki kelebihan psikologi ekoran kekalahan buruk, Isnin lalu.

“Kami banyak buat kesilapan pada perlawanan itu tetapi esok (hari ini) kami tidak boleh mengulanginya dan harus memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah penampilan kedua saya dalam final Piala FA, kali pertama ketika bertemu Perak pada 2004 tetapi ketika itu kami tewas 0-3, saya tidak mahu sejarah berulang lagi,” katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eML4MHYM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kijang sedia 'gomo' Penyu

ARKIB : 10/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
 
KOTA BHARU - Penampilan sulung pada perlawanan akhir Piala FA akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain sayap lincah Red Warriors, Nurul Azuwan Roya bagi membantu pasukannya meraih kejuaraan buat kali pertama.

Nurul Azuwan atau Awe, mahu menjadikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebagai medan terbaik untuk membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh pengurusan pasukan termasuk Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu.

Menurutnya, meskipun kali pertama beraksi pada pentas perlawanan akhir, dia tidak gentar untuk berhadapan dengan puluhan ribu penyokong lawan, yang dijangka menguasai veneu final nanti.

"Saya rasa semakin bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi. Inilah peluang terbaik buat saya dan pasukan mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.

"Selaku anak jati negeri ini, saya akan mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut. Namun jangan terlalu yakin walaupun kita pernah menewaskan mereka 3-0 dalam saingan Liga Super Isnin lalu," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, dia yakin Kelantan mampu muncul juara sekiranya rakan-rakan sepasukan memberi tumpuan sepenuhnya dan mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih.

Anak kelahiran Seremak, Pasir Puteh itu menjangkakan, perlawanan akhir sengit dan Terengganu pastinya tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.

"Terengganu pasti akan turun bermati-matian selepas mereka tumpas kepada kita baru-baru ini. Untuk itu, saya dan rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Izuan Solahuddin yang menjaring gol dalam pertemuan menentang Terengganu, mahu menjadikan penampilan kedua pada pentas akhir Piala FA sebagai penebus kekecewaan selepas tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti pada 2009.

Meskipun hanya memanaskan bangku simpanan pada penampilan pertamanya, dia bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan menggalas tugas selaku pemain utama pada perlawanan akhir tersebut.

"Pada final 2009 saya hanya menjadi pemain simpanan sahaja, namun untuk tahun ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih saya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.

"Ini peluang terbaik buat saya, jadi ia harus digunakan sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kejuaraan," ujarnya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMIkrPQx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 Februari 2019

Janji Sharbinee


ARKIB : 09/06/2011
Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU - "Saya berjanji tidak akan ulangi kesilapan yang sama dan akan beri tumpuan 110 peratus pada final Piala FA nanti,".

Itu kata penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli, 25, yang dikritik jurulatih sendiri, Irfan Bakti kerana melepaskan dua gol mudah ketika skuad Penyu kalah 0-3 kepada Kelantan pada perlawanan Liga Super, Isnin lalu.

Menurut Sharbinee, dia tidak akan membiarkan kekesalan menghantuinya dan bertekad melupakan aksi yang mengecewakan ribuan penyokong ketika menentang Kelantan.

Sharbinee, yang ditemui semasa sesi latihan terakhir petang semalam, tidak menunjukkan reaksi tergugat dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan.

Dua daripada jaringan pasukan lawan Isnin lalu dikaitkan dengan kesilapannya, yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan sebagai penjaga gol kebangsaan.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, dia akan melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir dan tidak akan membiarkan 'pisang berbuah dua kali'.

"Semua pemain termasuk saya tidak dapat beraksi dengan baik ketika kami kalah 0-3 kepada Kelantan tempoh hari.

"Namun perlu diingat, suasana beraksi pada final nanti sangat berbeza berbanding perlawanan liga dan kami akan bangkit semula selepas ini," katanya.

Sharbinee dikritik kerana didakwa menjadi punca kepada kekalahan skuad Penyu kepada Red Warriors Isnin lalu, gara-gara meninggalkan gawang terlalu jauh sehingga memudahkan lawan menjaringkan gol.

Sharbinee menganggap kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu cabaran untuk dia meningkatkan tahap permainan pada final nanti.

Katanya, dia akan memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan jurulatih, Irfan Bakti pada perlawanan Sabtu ini.

"Secara peribadi, final Piala FA ini adalah final pertama dalam karier saya sebagai seorang pemain bola sepak Terengganu.

"Jadi, saya berharap kami akan menewaskan Kelantan nanti," katanya.

Sharbinee merupakan sebahagian daripada anggota skuad Bawah 23 negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eM8CnXNN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Giliran Terengganu teraju liga


ARKIB : 26/05/2011
 
Penjaga gol Selangor, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi terjatuh akibat diasak pemain Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR - Teraju Liga Super bertukar tangan lagi, kali ini giliran Terengganu pula menjadi pendahulu dengan penuh bergaya apabila membelasah Pahang 5-0, semalam.

Kejayaan Terengganu mendaki puncak liga dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, Kelantan iaitu 1-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Muhammed V, Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut, T-Team mendahului hasil jaringan Mohd. Badrul Izani minit ke-46, namun Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-86.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-97.

Terengganu pula berpesta gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu hasil jaringan Ashari Shamsudin (m-14), Abdul Hadi Yahaya (m-20, 53, 56) dan Abdul Manaf Mamat (m-77).

Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengumpul 47 mata, dan memintas Kelantan yang kalah di laman sendiri.

Selangor pula terus dilanda kemerosotan prestasi apabila mencatat kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini kepada 1-2 kepada Harimau Muda A di Stadium Stadium Shah Alam.

Gol Harimau Muda A dijaringkan Izzaq Faris Ramlan (m-41) dan gol kedua oleh Syahrul Azwari (m-61) manakala gol Selangor oleh Safiq Rahim (m-64).

Malang terus membelenggu Perlis apabila mencatat kekalahan keempat berturut-turut kali ini kepada Perak 1-2 di Stadium Utama Negeri.

Perlis mendahului menerusi jaringan Tengku Mohd. Adam pada minit ke-48.

Namun Perak bangkit dengan dua gol pada babak kedua hasil jaringan Mohd. Shazuan Ashraf Mathews (m-64) dan Akmal Rizal Rakhli (m-84).

Di Stadium Likas, jaringan Sharul Azhar Ture, memberikan Sabah tiga mata penuh apabila mengalahkan Felda United 2-1.

Felda United mendahului pasukan tuan rumah menerusi Md. Hasmarul Fadzir pada minit ke-31 dan Zainizam Marjan menyamakan kedudukan pada minit ke-58, sebelum jaringan kemenangan Shahrul pada minit ke-62.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eL4Qm91R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu semakin garang

ARKIB : 24/05/2011
 
Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) mengasak penyerang Terengganu, Mohd. Ashaari Samsuddin dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin. Terengganu menang 3-0. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU – Skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.

Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.

Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

"Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).

"Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eL2LaLQL
© Utusan Melayu (M) Bhd