ARKIB : 09/09/2005
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
KUALA TERENGGANU - Berdasarkan
prestasi ketika ini, Terengganu dianggap pasukan paling mencuri tumpuan selepas
berjaya melayakkan diri ke saingan separuh akhir bola sepak Piala Malaysia.
Malah, cakap-cakap mengenai
kemampuan melangkah ke aksi akhir dan seterusnya menjulang piala tersebut kini
mula kedengaran di kalangan peminat skuad Penyu.
Bagi pengurus pasukan, Sheikh
Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof, perjalanan masih jauh dan beliau mahu pemain tidak
terlalu yakin setelah membenam Kedah, kelmarin.
Menurutnya, Selangor pasukan
yang jauh berbeza berbanding skuad Kenari kerana mereka memiliki pengalaman
menjulang piala berprestij itu sebanyak 29 kali dan dibarisi pemain berstatus
bintang.
``Walaupun skuad kali ini
memang berkemampuan dan kita menunjukkan permainan cemerlang dalam beberapa
perlawanan lalu, saya mahu pemain supaya tidak terlalu cepat leka.
``Seperti yang kita tahu,
Selangor mempunyai tradisi tersendiri dan mereka biasanya mempunyai ketahanan
untuk bersaing dalam Piala Malaysia,'' katanya ketika dihubungi di sini,
semalam.
Selain menyingkirkan Kedah,
Terengganu juga menjadi pasukan yang pernah menewaskan Juara Liga Super 2005
dan penyandang juara Piala Malaysia, Perlis sebanyak dua kali dalam peringkat
kumpulan.
Menurut Sheikh Ahmad Tajuddin,
bagi memastikan para pemain muda dapat mengekalkan rentak kemenangan ketika
ini, pengurusan pasukan itu melengkapkan mereka dengan sesi motivasi khas
setiap hari.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iwnfgz8z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan