Rabu, 28 Jun 2017

Terengganu benam NS Naza



ARKIB : 16/07/2006
TONGGAK Perak, Daniel Wirat Nom (kiri) berjaya melepasi halangan pemain MPPJ pada saingan bola sepak Piala Malaysia di Petaling Jaya, malam tadi. Perak menang 3-1. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR - Terengganu merampas kedudukan tangga teratas Kumpulan A apabila menewaskan juara Liga Super, NS Naza 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Dua gol menerusi Norfarhan Mohamad pada minit ke-48 dan 79 disusuli oleh Helton Soares di minit ke-53 sudah cukup menceriakan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah daripada tiga perlawanan.

NS Naza sekadar memperoleh gol tunggal menerusi jaringan Buston Nagbe pada minit ke-87.

Di Stadium Likas, Bambang Pamungkas muncul hero apabila jaringan tunggalnya membantu Selangor mencapai kemenangan pertama menewaskan Sabah 1-0.

Bambang meledakkan gol kemenangan pada minit ke-79 buat menghidupkan kembali peluang Selangor untuk memburu tempat ke suku akhir.

Dalam Kumpulan B, Telekom Melaka masih mengekalkan kedudukan tangga teratas walaupun seri 1-1 menentang Pulau Pinang E&O di Stadium Bandaraya.

Rosli Azizan membuka tirai jaringan awal milik Pulau Pinang E&O pada minit ke-80 tetapi kealpaan benteng tuan rumah membolehkan Telekom Melaka menyamakan kedudukan menerusi Tengku Hasbullah Raja Hassan pada minit ke-90.

Johor FC pula turut menghidupkan harapan ke suku akhir dengan kejutan menewaskan juara Liga Perdana, Kedah 4-3 di Stadium Larkin.

Tuan rumah memperoleh gol menerusi Eddy Hilmi Abdul Manan (m-24), Gaston Marcel (m-29, 71) dan Mohd. Nurul Azwan (m-83) manakala Kedah pula melalui Marcos Moralles (m-6), Paulo Roberto Da Silva (m-38) dan jaringan sendiri ketua pasukan Johor FC, A. Ganeson (m-54).

Dalam Kumpulan C, Perlis merampas kedudukan tangga teratas apabila mudah menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sarawak.

Dua gol menerusi permata hitam Philimon Chepita (m-18) dan Zachariah Simukonda (m-47) memastikan Perlis mengutip tujuh mata dengan kelebihan satu mata memintas Sarawak yang berada di tangga kedua.

Sarawak memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti Ivan Jerkovic minit ke-85.

Juara Piala FA, Pahang turut mengukir kemenangan bergaya apabila mudah menewaskan PKNS 4-2 di Stadium Darulmakmur.

Empat gol menerusi John Tambouras (m-44), Josiah Seton (m-48), Hairuddin Omar (m59) dan Indra Putra Mahayuddin menhidupkan kembali peluang skuad Tok Gajah untuk ke suku akhir.

PKNS memperoleh dua gol menerusi Roman Chemelo (m-6) dan Igor Tholic (m-85).

Dalam Kumpulan D, Perak merampas kedudukan tangga teratas menewaskan MPPJ 3-1 di Stadium Petaling Jaya.

Keita Mandjou mencipta dua jaringan pada minit ke-19 dan 88 manakala satu gol lagi menerusi Daniel Fazli pada minit ke-13 memastikan Perak meraih tujuh mata memintas MPPJ.

Gol sagu hati tuan rumah dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-42.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lI8Wppdh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan