ARKIB : 16/07/2006
TONGGAK Perak, Daniel Wirat Nom
(kiri) berjaya melepasi halangan pemain MPPJ pada saingan bola sepak Piala
Malaysia di Petaling Jaya, malam tadi. Perak menang 3-1. Gambar RUSHDI
SALLEH.
KUALA LUMPUR - Terengganu
merampas kedudukan tangga teratas Kumpulan A apabila menewaskan juara Liga
Super, NS Naza 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Dua gol menerusi Norfarhan
Mohamad pada minit ke-48 dan 79 disusuli oleh Helton Soares di minit ke-53
sudah cukup menceriakan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah daripada tiga
perlawanan.
NS Naza sekadar memperoleh gol
tunggal menerusi jaringan Buston Nagbe pada minit ke-87.
Di Stadium Likas, Bambang
Pamungkas muncul hero apabila jaringan tunggalnya membantu Selangor mencapai
kemenangan pertama menewaskan Sabah 1-0.
Bambang meledakkan gol
kemenangan pada minit ke-79 buat menghidupkan kembali peluang Selangor untuk
memburu tempat ke suku akhir.
Dalam Kumpulan B, Telekom
Melaka masih mengekalkan kedudukan tangga teratas walaupun seri 1-1 menentang
Pulau Pinang E&O di Stadium Bandaraya.
Rosli Azizan membuka tirai
jaringan awal milik Pulau Pinang E&O pada minit ke-80 tetapi kealpaan
benteng tuan rumah membolehkan Telekom Melaka menyamakan kedudukan menerusi
Tengku Hasbullah Raja Hassan pada minit ke-90.
Johor FC pula turut
menghidupkan harapan ke suku akhir dengan kejutan menewaskan juara Liga
Perdana, Kedah 4-3 di Stadium Larkin.
Tuan rumah memperoleh gol
menerusi Eddy Hilmi Abdul Manan (m-24), Gaston Marcel (m-29, 71) dan Mohd.
Nurul Azwan (m-83) manakala Kedah pula melalui Marcos Moralles (m-6), Paulo
Roberto Da Silva (m-38) dan jaringan sendiri ketua pasukan Johor FC, A. Ganeson
(m-54).
Dalam Kumpulan C, Perlis
merampas kedudukan tangga teratas apabila mudah menewaskan Sarawak 2-1 di
Stadium Sarawak.
Dua gol menerusi permata hitam
Philimon Chepita (m-18) dan Zachariah Simukonda (m-47) memastikan Perlis
mengutip tujuh mata dengan kelebihan satu mata memintas Sarawak yang berada di
tangga kedua.
Sarawak memperoleh gol saguhati
menerusi sepakan penalti Ivan Jerkovic minit ke-85.
Juara Piala FA, Pahang turut
mengukir kemenangan bergaya apabila mudah menewaskan PKNS 4-2 di Stadium
Darulmakmur.
Empat gol menerusi John
Tambouras (m-44), Josiah Seton (m-48), Hairuddin Omar (m59) dan Indra Putra
Mahayuddin menhidupkan kembali peluang skuad Tok Gajah untuk ke suku akhir.
PKNS memperoleh dua gol
menerusi Roman Chemelo (m-6) dan Igor Tholic (m-85).
Dalam Kumpulan D, Perak
merampas kedudukan tangga teratas menewaskan MPPJ 3-1 di Stadium Petaling Jaya.
Keita Mandjou mencipta dua
jaringan pada minit ke-19 dan 88 manakala satu gol lagi menerusi Daniel Fazli
pada minit ke-13 memastikan Perak meraih tujuh mata memintas MPPJ.
Gol sagu hati tuan rumah
dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-42.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lI8Wppdh
© Utusan Melayu (M) Bhd