Wartawan Sinar Harian
25 September 2016
logo terengganu
KETIADAAN beberapa tonggak
utama pasukan bola sepak Terengganu antara punca skuad Penyu dihukum di laman
sendiri apabila tewas 0-3 kepada pasukan Kedah malam tadi, kata Ketua jurulatih
pasukan itu, Mustafa Kamal Abd Wahab.
"Kami kehilangan beberapa
tonggak utama seperti Nordin Alias yang tidak diturunkan akibat cedera, memaksa
kami mengubah senarai...itu menjadi kekangan kami," katanya kepada
pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, dekat
sini.
Bagaimanapun Mustafa Kamal masih
menaruh harapan nasib terus menyebelahi
pasukan itu bagi memastikan ia terus kekal berada dalam saingan Liga
Super musim depan.
Katanya, selain bergantung
kepada nasib dan komitmen, para pemain ditagih bagi merealisasikan harapan itu.
Untuk rekod Terengganu kini
menghuni tangga tercorot liga selepas mengumpul 19 mata daripada 21 perlawanan.
Dalam perlawanan itu, gol
pasukan pelawat dijaringkan Thiago Augusto Fernande di minit ke-13 dan 80
sebelum Smetls Shane Edward menyumbangkan satu gol di minit ke-62.
Sementara itu pengendali
pasukan Kedah Tan Cheng Hoe berharap kemenangan yang diperoleh itu, menjadi
suntikan semangat untuk berjuang dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia
nanti.
Katanya tiada laluan mudah
untuk menang dalam setiap perlawanan dan berharap anak didiknya terus bijak
menggunakan peluang untuk menyaingi pasukan lawan.
"Tidak kira dalam apa jua
perlawanan kami akan memberi impak terbaik bagi mengatasi pasukan lawan dan
kemenangan malam tadi dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk mengulangi
kejayaan dalam saingan Piala Malaysia di peringkat separuh akhir nanti,"
katanya. – Bernama
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 25 September 2016