Khamis, 25 Mei 2017

Terengganu buntu serangan tumpul



ARKIB : 25/02/2005

Oleh: HARADIAN SHAH HAMDAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu masih lagi tercari-cari seorang pemain import di bahagian serangan bagi memikul tanggungjawab untuk menghasilkan gol secara konsisten untuk pasukan tersebut.

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super dan satu saingan Piala FA, pihak pengurusan ternyata masih belum yakin untuk bergantung sepenuhnya kepada tiga penyerang sedia ada iaitu Dos Santos, Sapian Wahid dan Norizam Ali Hassan.

Ketumpulan penyerang menyempurnakan peluang di depan gol, disuarakan oleh pengurus skuad Penyu itu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof yang menyifatkan gandingan tiga pemain itu masih tidak begitu menyengat seperti yang diharapkan.

Katanya, masalah itu ketara dalam perlawanan-perlawanan lalu apabila mereka gagal menyudahkan deretan peluang terhidang yang dicipta oleh bahagian tengah.

``Kita lihat penyerang gagal mengambil kesempatan yang ada dan kita tidak begitu gembira dengan keadaan ini. Kalau mereka mampu mengubah semua peluang dalam beberapa perlawanan setakat ini menjadi gol, pastinya Terengganu boleh menjadi pasukan yang digeruni,'' katanya selepas pasukan itu menang 2-1 ke atas MPPJ Selangor dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA di sini, kelmarin.

Pada perlawanan itu, dua gol dijaringkan oleh Dos Santos dan Zairo Anuar Zalani.

Ia adalah gol sulung Dos Santos musim ini, Sapian juga baru meledak satu gol dan Norizam masih belum menggegar jaring lawan.

Menurut Sheikh Tajudin, kelemahan itu perlu diatasi segera kerana saingan liga semakin rancak dan Terengganu tidak boleh terus dihantui masalah itu kerana ia bakal menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan berkenaan.

``Kita akan terus menguji beberapa pemain dalam masa terdekat ini bagi mencari penyerang prolifik untuk mengepalai bahagian serangan. Beberapa hari lagi ada seorang pemain import yang akan datang ke Terengganu dan kita akan lihat sama ada pemain ini mempunyai kemampuan yang kita mahukan.

``Baru-baru ini kita ada menguji seorang pemain Ghana tetapi kerana dia bukan penyerang tulen dan lebih gemar beraksi di bahagian tengah, kita tidak mengambilnya kerana kita benar-benar mencari penyerang pada masa ini,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iABuNtxW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan