Ahad, 7 Mei 2017

Kemunculan Sillah legakan Terengganu



ARKIB : 01/02/2005

KUALA TERENGGANU - Penantian Terengganu berakhir apabila pemain import dari Togo, Mohamed Sillah yang dinantikan kemunculannya selepas pulang ke negara asal tahun lalu, kembali semula menyertai latihan pasukan itu kelmarin.

Pengurus, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, kepulangan Mohamed Sillah amat melegakan kerana khidmat pemain yang pernah menyarung jersi pasukan itu musim lalu sememangnya ditagih, apatah lagi dia sudah serasi dan membentuk persefahaman dengan pemain lain.

Ujarnya, ia sekali gus melengkapkan tiga pemain import yang dimiliki pasukan itu yang akan turut diperkuat oleh Alfa Potowabawi (Togo) dan Dos Santos (Brazil).

``Selepas beberapa minggu menanti, akhirnya dia (Mohamed Sillah) tiba semalam dan kami kini mempunyai barisan pemain yang lengkap untuk membuat persiapan akhir menjelang perlawanan pertama menentang Polis pada 6 Februari ini.

``Saya percaya ia menyuntik semangat kepada pemain-pemain lain dalam pasukan dan pastinya mereka dapat memberi sepenuh tumpuan kepada latihan dan perlawanan yang akan dihadapi nanti,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Kelewatan Mohamed Sillah kembali ke pangkuan skuad Penyu berikutan masalah visa isterinya sebelum ini merisaukan pihak pengurusan pasukan itu yang pernah memberi kata dua kepada pemain berkenaan supaya pulang segera atau dibatalkan kontrak.

Terengganu menyambung semula khidmatnya bagi semusim lagi selepas berpuas hati dengan sumbangan pemain pertahanan berbadan sasa itu mengepalai benteng pasukan dalam mengekang serangan lawan musim lalu.

Pasukan itu kini sedang mencari seorang lagi pemain import bagi melengkapkan kuota empat pemain yang dibenarkan didaftar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

Sementara itu, Sheikh Tajudin tidak menolak kemungkinan pasukan itu terpaksa bermain pada sebelah petang berikutan kerja-kerja penyelenggaraan lampu limpah sedang dijalankan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah.

Katanya, para pemain dijangka tidak menghadapi masalah beraksi di sebelah petang, namun dia berharap kerja-kerja penyelenggaraan oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dilakukan segera sebelum perlawanan pertama di tempat sendiri menentang Perak Jenderata pada 13 Februari nanti.

``Pemain boleh menyesuaikan diri jika terpaksa bermain petang tapi kita harap perlawanan diadakan pada waktu malam bagi memudahkan penonton datang menyaksikan pasukan Terengganu beraksi,'' katanya.

Menurutnya, pasukan itu sedang membuat persiapan rapi dengan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di ibu negara ketika ini. Dalam perlawanan dengan MK Land semalam, skuad Penyu menang 3-1.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4gOIaaSN4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan