ARKIB : 04/01/2005
Oleh: HARADIAN SHAH HAMDAN
|
PINTU sudah tertutup buat bekas pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang meninggalkan pasukan itu sebelum ini untuk `rujuk' semula dan bermain dengan skuad Penyu pada musim depan.
Sebaliknya, pasukan itu lebih senang bergantung harapan kepada tenaga muda apabila menyenaraikan hampir 80 peratus pemain berusia bawah 23 tahun bagi saingan musim 2005.
Pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, beliau telah dihubungi oleh beberapa bekas pemain skuad itu baru-baru ini yang menyatakan keinginan untuk kembali menyarung jersi hitam putih negeri tersebut.
Biarpun belum ada kata putus diberikan, beliau mengakui Terengganu bakal menggunakan pemain muda yang lebih bertenaga dan setia kepada skuad Penyu.
``Kita masih menimbang permohonan (bekas) pemain-pemain ini tetapi yang pasti pengurusan lebih berminat menggunakan pemain baru.
``Kita juga mengambil kira faktor umur bekas-bekas pemain yang kebanyakannya sudah berusia dan kudrat agak terbatas,'' ujarnya yang bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain yang menyatakan minat kembali ke pangkuan pasukan itu.
Terengganu sebelum ini banyak melahirkan pemain-pemain berbakat yang menjadi tonggak pasukan itu yang bagaimanapun akhirnya dipikat oleh negeri lain terutama jiran, Pahang.
Antaranya mereka kehilangan beberapa ayam tambatan antaranya Rosdi Talib, Hairuddin Omar dan Juzaili Samion yang kemampuan mereka digilap oleh Terengganu.
Sementara itu, menurut Sheikh Tajudin, Terengganu akan diperkuatkan oleh tiga bekas pemain senior dari negeri lain iaitu bekas penyerang negeri itu, Sapian Wahid (Sarawak), Norizan Ali Hassan (Melaka) dan Jaafar Saleh (Selangor).
Ujarnya, rundingan berada di peringkat akhir dan mereka dijangka menandatangani kontrak dalam masa terdekat.
``Pemain-pemain ini hampir pasti menyertai kami, malah Sapian sendiri sudah menjalani latihan dengan pasukan ini.
``Bagaimanapun kita akan sentiasa memantau perkembangan mereka terutama sekali tahap kecergasan kerana kita mahukan pemain-pemain yang berkualiti untuk membawa cabaran dalam Liga Perdana musim depan,'' katanya.
Tambahnya, pasukan itu mahu mencari seorang lagi pemain import untuk melengkapkan kuota empat pemain yang dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mereka mengekalkan tiga pemain musim lepas, Dos Santos, Mohamed Sillah dan Alfa Potowabawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan