Selasa, 30 Mei 2017

Pertahanan julang Terengganu



ARKIB : 27/05/2005

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

KUALA TERENGGANU - Kekentalan bahagian pertahanan menjadi faktor penting kemampuan skuad Terengganu mengekalkan status sebagai pendahulu kumpulan B bola sepak Liga Perdana.

Berdasarkan statistik, skuad Penyu hanya bolos lapan kali selepas bermain 15 perlawanan liga.

Ia merupakan jumlah paling rendah di kalangan 16 pasukan yang bersaing di dalam kedua-dua kumpulan Liga Perdana setakat ini.

Malah, kubu Terengganu yang dikepalai oleh penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa dan Norfazly Alias, lebih kukuh berbanding lapan pasukan bertarung dalam kelompok elit, Liga Super yang semuanya sudah melepaskan lebih 10 gol.

Hakikat ini sememangnya diakui oleh Pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajudin Sheikh Yusuf yang menganggap benteng pertahanan banyak membantu pasukan itu mengutip mata musim ini.

Menurutnya, kerjasama di kalangan pemain pertahanan, penjaga gol dan pemain tengah semasa mengekang asakan lawan memainkan peranan penting kepada keampuhan benteng.

``Setakat ini kami mempunyai pertahanan yang mantap dan kurang melepaskan gol. Saya harap ia dapat dikekalkan dengan pemain memberi fokus dan mengelak kesilapan mudah yang memberi peluang kepada lawan,'' katanya di sini, semalam.

Katanya, penyerang yang ada masih belum menemui kombinasi mantap seperti yang diharapkan untuk menggegar kubu lawan secara kerap dalam saingan liga.

Terengganu ketika ini mengumpul 35 mata dan diekori rapat oleh Negeri Sembilan dengan 34 mata dan PKNS mengutip 28 mata.

Mengulas saingan seterusnya, Sheikh Ahmad meramalkan pasukannya bakal berdepan tugas berat pada pusingan ketiga kerana akan bertandang ke empat gelanggang lawan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iYa4Q97G
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 29 Mei 2017

MK Land, Terengganu kuasai takhta



 
ARKIB : 05/05/2005
PEMAIN Melaka, Samsul Napiah (kiri) mengasak penyerang MK Land, Marlon Alex James pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Hang Tuah, Melaka, malam tadi. MK Land menang 1-0. - Gambar GAIE UCHEL.

KUALA LUMPUR - Pasukan bertaraf kelab, MK Land mengukuhkan kedudukan untuk kekal sebagai pendahulu Kumpulan A Liga Perdana apabila menewaskan Melaka 1-0 pada perlawanan di Stadium Hang Tuah, Melaka, malam tadi.

Terengganu pula mengungguli Kumpulan B selepas menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sinonimnya, kedua-dua perlawanan membabitkan dua pasukan teratas kumpulan itu hampir mencetuskan pergaduhan.

Penyerang import MK Land, Marlon Alex James muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-46.

Keadaan bagaimanapun menjadi tegang pada minit ke-81 apabila penjaga gol Melaka bertindak menyerbu ke arah seorang pemain MK Land yang telah mengkasari rakan sepasukannya dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan pula gagal menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila ketinggalan 2-0 hasil jaringan Zairo Anuar Zalani (m-18) dan Dos Santos (m-60).

Bagaimanapun tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-87 yang disempurnakan Christian Bekamenga

Keadaan menjadi tegang di minit-minit terakhir permainan apabila jaringan Negeri Sembilan dibatalkan pengadil kerana seorang pemainnya telah melakukan kekasaran terlebih dulu.

Kemenangan MK Land membolehkan mereka kini mengumpul 29 mata meninggalkan Selangor di tangga kedua Kumpulan A yang turut mencatat kemenangan ke atas NTFA Pulau Pinang 5-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan.

Selangor yang menguasai permainan di gelanggang lawan sejak awal permainan menyumbat gol pertamanya menerusi rembatan kencang penyerang utamanya Khalid Jamlus pada minit ke-14 hasil hantaran K.Sanbagamaran.

Asakan pasukan pelawat selepas itu menghasilkan gol kedua menerusi pemain importnya Brian Fuentes pada minit ke-45.

Separuh masa kedua menyaksikan permainan pantas kedua-dua pasukan dan Selangor menyumbat gol ketiganya menerusi rembatan Bambang Pamungkas pada minit ke-59 setelah membolosi pertahanan NTFA secara solo.

Khalid dan Bambang masing-masing menambah gol keempat dan kelima untuk Selangor pada minit ke-87 dan ke-91.

Gol tunggal NTFA dihasilkan oleh N. Puvideran pada minit ke-78 menerusi rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti.

Kedah mengekori rapat di tangga ketiga selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur dalam perlawanan di Stadium Cheras.

Kedah lebih dulu membuka jaringan menerusi Mendez Gabriel Alejandro pada minit ke-35 tetapi Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Zamri Assan pada minit ke-79.

Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan TNB Kelantan tewas kepada Brunei 1-3 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV.

Dalam saingan Kumpulan B, PKNS Selangor merampas kedudukan di tangga kedua daripada Negeri Sembilan apabila menang 4-2 ke atas Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bharu.

Johor lebih awal memperoleh gol pada minit ke-27 menerusi sepakan Norizam Salaman namun PKNS berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Slaven Bukal.

Josko Parac kembali meletakkan PKNS di depan pada minit ke-42 sebelum tuan rumah sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi L. Rajesh pada minit ke-49.

Baki dua lagi gol PKNS selepas itu disumbangkan Parac (m-83) dan Rudie Ramli (m-86).

Sarawak pula menewaskan Polis 3-0 dalam perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam.

Gol Sarawak dijaringkan menerusi Suharmin Yusuf (m-30, 73) dan Andy Kaso Siapada (m-52).

Di Stadium TLDM, Lumut, tuan rumah Jenderata Perak mengejutkan Johor FC apabila mengikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSnLHvOb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 28 Mei 2017

Terengganu mudah benam Jenderata



ARKIB : 23/04/2005

IPOH - Terengganu berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Jenderata 2-0 dalam perlawanan Kumpulan B Liga Perdana di Stadium Perak di sini semalam.

Pasukan pelawat itu membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi jaringan Marcos Alexandre.

Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-82 untuk jaringan kedua dalam perlawanan itu, yang berlangsung di atas padang basah.

Gol kedua Terengganu disumbangkan oleh Luis Fernando Gomes akibat kesilapan pemain pertahanan Jenderata.

Perlawanan itu sepatutnya dilangsungkan di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut tetapi terpaksa dipindahkan ke sini kerana kerosakan lampu limpah stadium TLDM itu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iPH1uOF0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 25 Mei 2017

Terengganu buntu serangan tumpul



ARKIB : 25/02/2005

Oleh: HARADIAN SHAH HAMDAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu masih lagi tercari-cari seorang pemain import di bahagian serangan bagi memikul tanggungjawab untuk menghasilkan gol secara konsisten untuk pasukan tersebut.

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super dan satu saingan Piala FA, pihak pengurusan ternyata masih belum yakin untuk bergantung sepenuhnya kepada tiga penyerang sedia ada iaitu Dos Santos, Sapian Wahid dan Norizam Ali Hassan.

Ketumpulan penyerang menyempurnakan peluang di depan gol, disuarakan oleh pengurus skuad Penyu itu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof yang menyifatkan gandingan tiga pemain itu masih tidak begitu menyengat seperti yang diharapkan.

Katanya, masalah itu ketara dalam perlawanan-perlawanan lalu apabila mereka gagal menyudahkan deretan peluang terhidang yang dicipta oleh bahagian tengah.

``Kita lihat penyerang gagal mengambil kesempatan yang ada dan kita tidak begitu gembira dengan keadaan ini. Kalau mereka mampu mengubah semua peluang dalam beberapa perlawanan setakat ini menjadi gol, pastinya Terengganu boleh menjadi pasukan yang digeruni,'' katanya selepas pasukan itu menang 2-1 ke atas MPPJ Selangor dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA di sini, kelmarin.

Pada perlawanan itu, dua gol dijaringkan oleh Dos Santos dan Zairo Anuar Zalani.

Ia adalah gol sulung Dos Santos musim ini, Sapian juga baru meledak satu gol dan Norizam masih belum menggegar jaring lawan.

Menurut Sheikh Tajudin, kelemahan itu perlu diatasi segera kerana saingan liga semakin rancak dan Terengganu tidak boleh terus dihantui masalah itu kerana ia bakal menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan berkenaan.

``Kita akan terus menguji beberapa pemain dalam masa terdekat ini bagi mencari penyerang prolifik untuk mengepalai bahagian serangan. Beberapa hari lagi ada seorang pemain import yang akan datang ke Terengganu dan kita akan lihat sama ada pemain ini mempunyai kemampuan yang kita mahukan.

``Baru-baru ini kita ada menguji seorang pemain Ghana tetapi kerana dia bukan penyerang tulen dan lebih gemar beraksi di bahagian tengah, kita tidak mengambilnya kerana kita benar-benar mencari penyerang pada masa ini,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iABuNtxW
© Utusan Melayu (M) Bhd