Khamis, 9 Februari 2017

Terengganu tetap kebal tanpa Sarbinee

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2017 @ 1:22 PM
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my

KETUA Jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakariah. - Foto Owee Ah Chun KUANTAN: Pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria mahu anak buahnya tidak memikirkan kekurangan Terengganu, sebaliknya kekal fokus apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

 Ini kerana, katanya, walaupun tanpa kelibat penjaga gol utama Mohd Sarbinee Allawee Ramli, ia tidak menjejaskan kekuatan Terengganu atau memberi kelebihan kepada Kuantan FA. Katanya, dengan memiliki barisan pemain berpengalaman, Terengganu yang beraksi di laman sendiri pasti mahu memanfaatkan peluang untuk meraih tiga mata dalam saingan Liga Perdana.

"Bagi saya, soal sama ada Sarbinee yang mengalami masalah kesihatan akan disenaraikan atau tidak oleh jurulatih Irfan Bakti Abu Salim, bukanlah satu isu kerana tiada pasukan yang bergantung kepada hanya seorang individu.

 "Jadi, pemain Kuantan FA perlu fokus mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 minggu lalu," katanya di sini, hari ini. Zulhamizan berkata, dia tidak akan melakukan banyak perubahan kerana yakin dengan tahap kecergasan dan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya ketika membenam PDRM.

"Apa yang saya harapkan ialah pemain tidak terikut-ikut rentak lawan, sebaliknya berusaha secepat mungkin untuk mengawal permainan dan terus memberi tekanan. "Biarpun peluang meraih mata dilihat agak sukar berdasarkan prestasi semasa Terengganu, saya harap pemain dapat beraksi mengikut arahan dan dapat sekurang-kurangnya mencuri satu mata," katanya.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/246060

Tiada ulasan:

Catat Ulasan