Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PENYERANG Terengganu, Lutfulla
Turaev (kiri) diasak pemain MISCMIFA, Yoges Muniandy pada perlawanan Liga
Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam
kelmarin.
KETUA jurulatih Terengganu,
Irfan Bakti Abu Salim boleh berasa bangga apabila skuad kendaliannya berjaya
melakar kemenangan kedua berturut-turut pada kempen Liga Primier selepas
menumpaskan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia
(MISC-MIFA) 2-1 malam kelmarin.
Begitu pun, beliau memberitahu
kemenangan yang diraih di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu itu bukannya mudah berikutan tentangan sengit yang
diberikan pemain MISC-MIFA.
“Biarpun MISC-MIFA telah tewas
dalam kesemua perlawanan yang diharungi mereka sebelum ini, pemain-pemain
pasukan itu telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga kita buntu
untuk menembusi gawang mereka sepanjang separuh masa pertama.
“Mereka menggunakan taktik
bertahan dengan sekurang-kurangnya 10 pemain termasuk penjaga gol berkubu di
kawasan sendiri setiap kali kita melancarkan serangan,” kata Irfan ketika
ditemui selepas perlawanan tersebut.
Sehubungan itu, Irfan
memberitahu dia telah mengarahkan anak-anak buahnya agar tampil dengan rentak
yang lebih pantas pada separuh masa kedua sebagai usaha untuk merobek kubu
kebal MISC-MIFA.
Menurut pengendali
berpengalaman itu, perancangan itu membuahkan hasil selepas pemain tengah,
Lutfulla Turaev berjaya memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama Terengganu
pada awal minit separuh masa kedua.
“Tiga mata yang diperoleh pada
perlawanan ini amat berharga buat Terengganu. Apa pun kita perlu terus fokus
kerana perjalanan liga masih panjang lagi. Saya juga masih mengharapkan yang
lebih daripada (Federico) Falcone selaku penyerang utama skuad ini,” katanya.
Pada perlawanan yang disaksikan
4,670 penyokong tegar skuad Penyu itu, Turaev yang mengikut jejak Irfan
berhijrah dari Felda United itu sekali lagi menunjukkan bisanya dengan
menewaskan penjaga gol MISC-MIFA, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari buat kali kedua
pada minit ke-75.
MISC-MIFA yang juga juara Piala
FAM musim lalu bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan selepas tandukan
Micheal Ijezie Chukwubunna menerjah gawang skuad Penyu dua minit kemudian
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4XnayqECw
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan