Ahad, 26 Februari 2017

Rangel ledak penyudah berbisa

Oleh Faizul Azlan Razak
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Penyerang baru Terengganu, Paulo Rangel mula mempamerkan taringnya apabila meledak hatrik membantu pasukannya menundukkan LionsXII 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, minggu lalu.

Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu yang bergandingan mantap dengan penyerang kelahiran Lubnan, Hassan Moni Chaito akan mencetus masalah kepada benteng pertahanan lawan.

Perkara itu diakui sendiri pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim yang menyifatkan Hassan calon sesuai digandingkan dengan penyerang dari Brazil itu.

Menurutnya, beliau cukup gembira percaturan menggandingkan Rangel dan Hassan begitu menjadi apabila pergerakan kedua pemain itu berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

“Perlawanan itu untuk mencari gandingan sesuai Rangel di bahagian serangan dan saya menggandingkannya bersama Hassan.

“Jelas percaturan saya menggandingkan Rangel dan Hassan membuahkan hasil apabila pergerakan mereka ada keserasian. Jadi, saya rasa mereka sesuai digandingkan bersama, cuma Hassan perlu mempertingkatkan stamina kerana baru pulih daripada kecederaan hamstring,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pemain tengah Gustavo Lopez pula semakin meningkat dari segi permainannya apabila bijak melakukan hantaran dan gerakannya pantas.
Menurutnya, percaturan meletakkan pemain tengah, Ismail Faruqi Ashaari di sayap kiri manakala Ashaari Shamsuddin di sebelah kanan juga menjadi apabila hantaran lintang membantu penyerang menjaringkan gol.

Reputasi Rangel semakin terserlah

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
RANGEL terus membuktikan reputasinya selaku peledak berbisa dalam saingan bola sepak tempatan.

PENYERANG import baharu Terengganu, Paolo Rangel membuktikan reputasinya selaku peledak berbisa dalam kempen Liga Malaysia (Liga M).

Walaupun saingan liga musim ini masih belum membuka tirainya, tetapi kemampun Rangel selaku penggempur berbisa sudah mula terserlah.

Kelmarin, pemain dari Brazil itu meledak hatrik buat skuad Penyu bagi membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1 ke atas Lions XII dalam satu aksi persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dalam perlawanan malam kelmarin, gandingan Rangel dan Hassan Chaito nampak mantap dan gerakan mereka banyak mengundang cemas buat pasukan pelawat.

Perubahan tersebut bakal menjadi pembakar semangat buat skuad kendalian, Abdul Rahman Ibrahim itu untuk mempamerkan aksi lebih berbisa pada musim ini.

Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan dua pemain import tersebut bakal digandingkan untuk menerajui jentera serangan Terengganu dalam kempen Liga Super musim ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan menggandingkan Rangel dan Chaito di bahagian serangan, pengendali berpengalaman itu tidak menafikannya, malah mengakui bahawa dua penggempur tersebut bakal diberi kepercayaan untuk mengisi posisi tersebut.

“Bagi saya, dia (Chaito) seorang pemain yang sangat teknikal dan berkemahiran tinggi. Dia ada keupayaan dari segi pergerakan.

“Walaupun kurang bertenaga disebabkan baru pulih daripada kecederaan, saya yakin dalam masa dua atau tiga minggu ini, dia dapat baraksi selama 90 minit,” katanya.

Rangel yang merupakan pemenang anguerah kasut emas musim lalu ketika bersama Selangor, membuktikan dia masih berbisa dengan menjaringkan gol pada minit ketiga, ke-25 dan 42.

Pasukan pelawat meraih gol sagu hati menerusi jaringan Isa Halim pada minit ke-40.

Abdul Rahman turut memuji pergerakan Chaito yang banyak membuka ruang kepada Rangel untuk membuat percubaan ke arah gawang gol.

“Semasa lawan T-Team tempoh hari (aksi persahabatan), kita hanya menggunakan khidmat Rangel di bahagian serangan, tetapi nampaknya, lepas ini Terengganu kena main dengan dua penyerang.

“Pada masa yang sama, saya juga berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain-pemain lain termasuk Ismail (Faruqi Ash’ari) dan Saha (Ashaari Shamsudin) yang banyak memberi sumbangan ketika melakukan serangan.

“Jadi, dengan adanya Saha di sebelah kanan dan Ismail di sebelah kiri, permainan kita jadi lebih terbuka,” ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Lion XII, Fandi Ahmad menyifatkan perlawanan ‘pemanas badan’ itu lebih kepada pendedahan awal untuk anak-anak buahnya yang rata-rata dibarisi pemain muda.

“Kita ingin memberi pendedahan kepada pemain muda terutama mereka yang tidak pernah merasai bermain di Malaysia,” katanya.


Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3OWMExBaOHakcipta terpelihara

Jumaat, 24 Februari 2017

Terengganu tewaskan Kuala Lumpur

 
Pemain Terengganu, Issey Farran Morgan Nakajima (kiri) cuba melepasi hadangan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Ramezey Che Ros dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kem Terengganu kembali ceria apabila berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Terengganu yang tewas dalam dua perlawanam berturut-turut sebelum ini bermula garang dengan melancarkan gerakan awal melalui kapten Issey Nakajima Farran namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Selepas percubaan itu skuad Penyu tidak perlu menunggu lama apabila berjaya meledak jaringan pendahuluan menerusi rembatan kencang Federico Falcone yang bijak menyempurnakanpeluang hasil bola muntah yang sebelum itu dirembat Issey Nakajima pada minit keempat.

Pada minit ke-19 skuad Penyu hampir berjaya menambah jaringan kedua tetapi rembatan pemain pertahanan Mohd Firdaus Mohd Faudzi sedikit melepasi palang sekali gus terselamat pintu gol skuad Warga Kota.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang menguasai perlawanan terus mencipta gerakan menarik namun peluang terhidang yang diperolehi pemain tengah Lutfulla Turaev pada minit ke-27 berjaya ditampan keluar penjaga gol.

Bagaikan tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, skuad pelawat memperkemaskan gerakan dan berjaya memperolehi peluang pertama menerusi rembatan Guilherme De Paula pada minit ke-32 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Muhammad Syazwan Yusoff.

Tiga minit berselang gol penyamaan yang dicari pelawat akhirnya tiba melalui tandukan Na'im Nazmi Zainuddin hasil kesilapan pertahanan Terengganu untuk menjadikan kedudukan 1-1 hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua skuad Penyu berjaya menambah jaringan kedua melalui sepakan percuma Turaev dari luar kotak penalti pada minit ke-52 untuk mendahului 2-1.

Tamat perlawanan keputusan kekal Terengganu menang 2-1.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 11:04 PM


Selasa, 14 Februari 2017

Kapten penyelamat skuad Penyu

 
PEMAIN Terengganu, Issey Nakajima (kanan) diasak pemain FELCRA, Muhammad Adib Zainudin (kiri) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu terpaksa bermandi peluh sebelum meraih kemenangan dengan menewaskan FELCRA dalam aksi pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.

Kapten pasukan Abdul Latiff Suhaimi meledak jaringan tunggal Terengganu yang beraksi sebagai pasukan pelawat.


Dalam aksi itu, skuad Penyu memperolehi peluang seawal minit pertama perlawanan menerusi sepakan deras pemain import Issey Nakajima Farran tetapi sedikit melepasi palang gol.

Sembilan minit kemudian Issey Nakajima sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah dengan melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti tetapi diselamatkan penjaga gol lawan, Muhd Syamin Othman.

Skuad tuan rumah yang dilihat banyak bertahan sesekali mengasak pintu gol pelawat namun kekentalan benteng yang diketuai pemain import, Lazaro Vinicius menggagalkan setiap gerakan.

Terengganu yang dilihat terdesak untuk memburu jaringan memasukkan penyerang Muhd Amirul Syahmi Ashari pada minit ke-38 menggantikan Mohd Ezaidy Mohd Khadar tetapi masih buntu untuk meledak jaringan hingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua skuad Penyu memperkemaskan asakan dan hasilnya Abdul Latiff berjaya meledak gol menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-55.

Selepas jaringan itu skuad Terengganu semakin bernafsu dan nyaris menambah gol kedua menerusi pemain gantian Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-76 namun ditepis keluar penjaga gol.

Tiga minit sebelum berakhir perlawanan penyerang Terengganu, Muhd Amirul Syahmi melepas peluang keemasan untuk menambah jaringan kedua walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat perlawanan dengan Terengganu menang dengan satu gol.

FOTO Ghazali Kori

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 11:16 PM

Sharbinee direhatkan

 
Sharbinee masih tidak beraksi menentang Felcra.
BERNAMA
Kuala Terengganu: Penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak akan diturunkan dalam saingan Piala FA menentang Felcra di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata pemain itu masih memerlukan rehat selepas menjalani rawatan di Kelantan baru-baru ini.

Mohd Sharbinee dilaporkan mengalami masalah jangkitan paru-paru dan posisinya akan diisi oleh Amierul Hakimi Awang.


"Kita akan rehatkan beliau sementara bagi membolehkannya menjalani rawatan dan semoga cepat pulih agar dapat kembali beraksi.

"Selain itu beberapa pemain lain juga tidak akan diturunkan malam ini sebagai persediaan menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana, Jumaat ini," katanya.

Mengulas aksi Piala FA malam ini, Irfan Bakti mahukan anak buahnya melupakan kemenangan tiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Perdana, sebaliknya memberi perhatian penuh untuk pertemuan dengan Felcra.

"Pemain tidak boleh mengambil mudah kemampuan lawan, sebaliknya terus bertekad mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 4:07 PM

Khamis, 9 Februari 2017

Terengganu tetap kebal tanpa Sarbinee

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2017 @ 1:22 PM
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my

KETUA Jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakariah. - Foto Owee Ah Chun KUANTAN: Pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria mahu anak buahnya tidak memikirkan kekurangan Terengganu, sebaliknya kekal fokus apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

 Ini kerana, katanya, walaupun tanpa kelibat penjaga gol utama Mohd Sarbinee Allawee Ramli, ia tidak menjejaskan kekuatan Terengganu atau memberi kelebihan kepada Kuantan FA. Katanya, dengan memiliki barisan pemain berpengalaman, Terengganu yang beraksi di laman sendiri pasti mahu memanfaatkan peluang untuk meraih tiga mata dalam saingan Liga Perdana.

"Bagi saya, soal sama ada Sarbinee yang mengalami masalah kesihatan akan disenaraikan atau tidak oleh jurulatih Irfan Bakti Abu Salim, bukanlah satu isu kerana tiada pasukan yang bergantung kepada hanya seorang individu.

 "Jadi, pemain Kuantan FA perlu fokus mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 minggu lalu," katanya di sini, hari ini. Zulhamizan berkata, dia tidak akan melakukan banyak perubahan kerana yakin dengan tahap kecergasan dan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya ketika membenam PDRM.

"Apa yang saya harapkan ialah pemain tidak terikut-ikut rentak lawan, sebaliknya berusaha secepat mungkin untuk mengawal permainan dan terus memberi tekanan. "Biarpun peluang meraih mata dilihat agak sukar berdasarkan prestasi semasa Terengganu, saya harap pemain dapat beraksi mengikut arahan dan dapat sekurang-kurangnya mencuri satu mata," katanya.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/246060

Sharbinee masuk hospital

Irfan sahkan Sharbinee menerima rawatan di HUSM. FOTO
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my
 
Kuala Terengganu: Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak semalam, selepas mengalami masalah paru-paru.

Ia disahkan ketua jurulatih pasukan Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, bekas penjaga gol kebangsaan berusia 30 tahun itu pada awalnya dibawa untuk menerima rawatan sebuah hospital di Kuala Terengganu selepas keadaannya lemah dan tidak bermaya.

Katanya, doktor yang merawat kemudiannya merujuk Mohd Sharbinee ke HUSM untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini, belum disahkan penyakit dihadapinya dan masih menunggu keputusan ujian darah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 12:01 PM




Ahad, 5 Februari 2017

Terengganu mula pamer taring

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 
PENYERANG Terengganu, Lutfulla Turaev (kiri) diasak pemain MISCMIFA, Yoges Muniandy pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

KETUA jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim boleh berasa bangga apabila skuad kendaliannya berjaya melakar kemenangan kedua berturut-turut pada kempen Liga Primier selepas me­numpaskan Majlis Sukan India Malaysia-Persa­tuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) 2-1 malam kelmarin.

Begitu pun, beliau memberitahu kemena­ngan yang diraih di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu bukannya mudah ber­ikutan tentangan sengit yang diberikan pemain MISC-MIFA.

“Biarpun MISC-MIFA telah tewas dalam kesemua perlawanan yang diharungi mereka sebelum ini, pemain-pemain pasukan itu telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga kita buntu untuk menembusi gawang mereka sepanjang separuh masa pertama.

“Mereka menggunakan taktik bertahan dengan sekurang-kurangnya 10 pemain termasuk penjaga gol berkubu di kawasan sendiri setiap kali kita melancarkan serangan,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Sehubungan itu, Irfan memberitahu dia telah mengarahkan anak-anak buahnya agar tampil dengan rentak yang lebih pantas pada separuh masa kedua sebagai usaha untuk merobek kubu kebal MISC-MIFA.

Menurut pengendali berpengalaman itu, perancangan itu membuahkan hasil selepas pemain tengah, Lutfulla Turaev berjaya memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama Terengganu pada awal minit separuh masa kedua.

“Tiga mata yang diperoleh pada perlawanan ini amat berharga buat Terengganu. Apa pun kita perlu terus fokus kerana perjalanan liga masih panjang lagi. Saya juga masih mengharapkan yang lebih daripada (Fe­derico) Falcone selaku penyerang utama skuad ini,” katanya.

Pada perlawanan yang disaksikan 4,670 penyokong tegar skuad Penyu itu, Turaev yang mengikut jejak Irfan berhijrah dari Felda United itu sekali lagi menunjukkan bisanya de­ngan menewaskan penjaga gol MISC-MIFA, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari buat kali kedua pada minit ke-75.

MISC-MIFA yang juga juara Piala FAM musim lalu bagaima­napun berjaya merapatkan kedudukan selepas tandukan Micheal Ijezie Chukwubunna menerjah gawang skuad Penyu dua minit kemudian

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4XnayqECw Hakcipta terpelihara