Selasa, 12 Disember 2017

Terengganu sasar juara, taruh muka baru

ARKIB : 05/11/2008
 
KUALA TERENGGANU - Terengganu meletakkan sasaran bergelar juara Liga Super 2009 dengan mengambil langkah berani apabila mempertaruhkan hampir keseluruhan barisan pemain muda pada musim depan yang bermula 3 Januari ini.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, barisan pemain muda itu akan dapat membantu tonggak berpengalaman dalam mencapai sasaran tinggi tersebut.

Katanya, bekas pemain pasukan lain iaitu Tengku Hazman Raja Hassan (Johor FC), Azlan Ismail (Perlis), Mohd. Shahrizan Mohd. (Sarawak) dan Mohd. Hafizi Awang (Kelantan) juga dijangka memperkukuhkan skuad Penyu itu.

"Pemain-pemain muda ini yang masing-masing mempunyai pengalaman mewakili negeri dalam Piala Presiden, Piala FAM dan Sukan Malaysia (Sukma) akan menjadi kekuatan pasukan ini,'' katanya selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu dan Penajaan Pronic bagi musim 2009.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Pengurus Besar Teo Guan Lee (KL) Sdn. Bhd., Toh Choon Keat yang menaja barangan dan peralatan sukan untuk pasukan Terengganu.

Ahmad berkata, beliau berharap semua pemain Terengganu akan meletakkan faktor disiplin dan komitmen dalam diri mereka bagi memastikan hasrat pasukan tersebut dicapai.

"Tanpa kedua-dua faktor tersebut, pasukan tidak akan maju dan mencapai hasrat menjuarai Piala Super dan Piala Malaysia," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri akan sentiasa membantu bagi memastikan kebajikan dan pengurusan sentiasa terjaga.

"Syarikat Teo Guan Lee yang merupakan pengedar berlesen jenama Pronic telah bersetuju untuk terus menaja pasukan Terengganu dan untuk musim depan menyediakan penajaan berjumlah RM350,000 dalam bentuk peralatan dan baju sukan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz512o8sCK5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Terengganu ikatAzlan, Saharizan

ARKIB : 07/09/2008
KUALA TERENGGANU - Bekas pemain Perlis, Azlan Ismail dan bekas pemain Sarawak, Saharizan Mohamad sah akan menjadi milik pasukan Terengganu dalam menghadapi kempen Liga Malaysia yang akan bermula awal Januari tahun depan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa PBSNT malam tadi.

"Mesyuarat juga memutuskan akan mengambil lima orang pemain muda daripada Piala Presiden untuk dinaikkan ke pasukan Liga Malaysia," katanya semalam.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju melantik Mohd Nik sebagai jurulatih dan Khalid Mohd. Dahan sebagai pembantu jurulatih sementara Zubir Ibrahim kekal sebagai jurulatih penjaga gol.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50NeIcAvo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Terengganu, Perlis tentukan juara

ARKIB : 06/06/2008
KUALA TERENGGANU - Juara bertahan, Terengganu akan bertemu Perlis pada final bola sepak Sukan Malaysia XII, Ahad ini selepas menang separuh akhir, semalam.

Terengganu selaku penyandang juara, menang 3-0 ke atas Kedah di Stadium Ismail Nasiruddin Shah.

Terengganu mempamerkan aksi kemas dengan Mohd. Ashari Samsudin mencatat hatrik seawal minit kesembilan, 27 dan 76.

Perlis pula mara buat pertama kali ke final dalam sejarah Sukma apabila menewaskan Pulau Pinang 4-1 di padang Kompleks Sukan Gong Badak menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua terikat tanpa jaringan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4zYQJOxa7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

Norfarhan cari hadiah perkahwinan



 
 “TIGA mata penuh untuk hadiah perkahwinan saya nanti.”
Itulah impian penyerang berbisa Terengganu, Mohd. Norfarhan Mohamad yang berhasrat memburu kemenangan pada perlawanan menentang UPB-MyTeam, Sabtu ini yang juga merupakan hari perkahwinannya.
NORFARHAN (kanan) mahu bantu Terengganu raih kemenangan.

Katanya dia mahu menebus maruah skuad Penyu pada perlawanan itu yang gagal mengutip tiga mata penuh dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Saya kecewa apabila kami kalah 2-4 ketika menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 sewaktu menentang Selangor dan Brunei DPMM, baru-baru ini,” ujarnya kepada KOSMO! semalam.

Menurut Norfarhan, dia mahu kembali mempamerkan aksi terbaik kerana merasakan rentak permainannya selepas pulang daripada Sukan SEA di Korat, Thailand Disember lalu agak menurun.

“Ketika mewakili skuad negara pada Sukan SEA lalu, saya mengalami keretakan pada bahagian buku lali dan keadaan itu agak menjejaskan persembahan saya.

“Saya tahu ramai yang tidak puas hati dengan mutu permainan saya yang menurun kebelakangan ini dan ia juga menyedihkan saya.

“Sebab itu saya mahu lebih fokus selepas ini bagi memulihkan keyakinan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Farhan berkata segalanya masih belum pasti kerana dia sendiri belum mendapat kebenaran untuk beraksi pada malam tersebut.

“Saya tidak tahu keputusan pihak pengurusan. Tetapi saya harap dapat bermain pada malam itu,” tambahnya.

Norfarhan, 24, akan menamatkan zaman bujangnya pada Sabtu ini dengan gadis pilihannya, Nik Suhaida Megat Deraman seorang juru runding fesyen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wLGhM67i
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Terengganu boleh tarik nafas lega



 
Oleh NURUL AMALINA RAMLEE
DOS ANJOS bakal diturunkan pada aksi menentang PDRM malam ini.
PENDAHULU liga, Terengganu kembali mendapat keyakinan selepas pemain importnya, Jocian Bento Dos Anjos yang sebelum ini mengalami kecederaan lutut disahkan akan beraksi pada perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam ini.

Berita gembira itu disuarakan pengurus pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof semalam.

Katanya, kecederaan Dos Anjos sudah pulih dan pemain kelahiran Brazil itu akan bersama skuad Penyu dalam saingan Liga Super malam ini.

“Sama ada bermain atau menjadi pemain simpanan belum kita ketahui lagi.

“Apa yang pasti, dia sudah boleh bermain dan namanya telah disenaraikan dalam barisan 20 pemain untuk menentang PDRM nanti,” ujarnya.

Ditanya mengenai kedudukan penyerang lincah Terengganu, Che Hishammudin Hassan, Sheikh Ahmad mengesahkan bahawa pemain itu masih belum dapat diturunkan ekoran masalah kesihatan.

“Demam yang dialaminya sebelum ini masih belum pulih dan kita tidak akan biarkan dia beraksi pada perlawanan esok (malam ini).”

Sementara itu, menyentuh perlawanan malam ini, beliau menasihati anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah atau yakin dalam memburu kemenangan.

“Kami akan beraksi di tempat lawan dan saya jangkakan sokongan lebih berpihak kepada mereka.

“Jadi saya mahu pemain sentiasa menghargai peluang kerana kalau mereka bersikap sambil lewa peluang kita untuk menang akan sukar,” katanya

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4w6r0Cycw
Hakcipta terpelihara

Khamis, 21 September 2017

Terengganu kembali ke landasan betul



ARKIB : 20/02/2007

KUALA TERENGGANU – Prestasi pasukan bola sepak Terengganu kembali mantap setelah berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak peringkat awal saingan Liga Super.

Jurulatih pasukan, Yunus Alif berkata, barisan hadapan Terengganu kini lebih menyengat dan mencabar pasukan lawan, lebih-lebih lagi dengan kembalinya penyerang muda berbakat, Norfarham Mohamad yang sebelum ini berehat lama kerana kecederaan.

“Norfarham telah berehat agak panjang kerana tangan kirinya patah setelah bertembung dengan Wan Rohimi Wan Ismail ketika menentang Johor FC akhir Disember lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau menyifatkan Terengganu kian mantap dalam semua posisi selepas Yunus memberikan penekanan dari segi fizikal dan mental kepada anak-anak buahnya sejak kebelakangan.

Beliau yakin pasukan Terengganu akan dapat memintas pendahulu liga, Perlis sekiranya pemain dapat mengekalkan prestasi yang ada sekarang pada perlawanan seterusnya.

Pasukan Penyu akan menunggu kedatangan Telekom Melaka FC pada perlawanan seterusnya di sini, Rabu ini dan Yunus menyifatkan pasukan lawan itu perlu diberikan perhatian supaya Terengganu tidak kecundang.

Yunus juga meminta setiap pemain Terengganu yang bakal diturunkan supaya menggunakan kesempatan sebaik mungkin untuk mencari gol supaya prestasi pasukan tidak tercalar.

“Mengukur pada kemenangan kita ketika bertemu Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Malaysia di sini Ahad lepas 4-0, saya percaya pemain-pemain kita akan dapat mengulangi kecemerlangan itu Rabu ini,” ujarnya.

Katanya, apa yang lebih penting ialah sokongan padu peminat Terengganu yang diharap sentiasa membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah setiap kali Terengganu beraksi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tKRd3wjL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 September 2017

Penyu tersungkur di Kangar



 
ARKIB : 11/01/2007
Penjaga gol Terengganu, Suhairdy Alby (kiri) berusaha menyelamatkan keadaan bahaya yang dicetuskan penyerang Perlis, Francis Kombe (kanan) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Utama Kangar, semalam. – Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KUALA LUMPUR – Singa Utara mengaum garang di Stadium Utama, Kangar apabila membelasah Terengganu 4-1 untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super, semalam.

Perlawanan dua pasukan teratas itu yang dijangka sengit berlangsung sebaliknya apabila pasukan tuan rumah berpesta gol menerusi jaringan Philimon Chipeta (m-8), Joey Ryan Gundok (m-44), Francis Kombe (m-62) dan Mohd. Faisal Esahar (m-85).

Hanya selepas itu barulah pasukan pelawat berjaya menembusi kubu Perlis menerusi Che Hishamudin Hassan (m-88) namun agak terlewat untuk bangkit mengejar.

Kekalahan sulung Terengganu itu pula membolehkan Pahang merampas tangga kedua liga hasil kejayaan menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Darul Makmur.

Tuan rumah mudah mendahului 3-0 menerusi gol sendiri Zamri Zainal (m-26), Jalaludin Jaafar (m-45) dan Safri Mokhtar (m-56) sebelum Sarawak menghasilkan gol tunggal menerusi Zamri Morshidi (m-60).

Brunei DPMM pula mengejutkan Telekom Melaka 4-1 dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk terus mengekori rapat Perlis, Pahang dan Terengganu.

Di Stadium Shah Alam, beraksi tanpa ketua pasukan Shukor Adan dan Fadzli Saari, Selangor ternyata longlai apabila mudah dibelasah Perak 4-2 dengan penyerang pasukan pelawat, Keita Mandjou mencipta jaringan hatrik.

Mandjou mencipta jaringan hatrik pada minit ke-7, 28 dan 42 selain disusuli jaringan Danial Fadzly (m-11) manakala gol saguhati Selangor dijaringkan Razman Roslan (m-10) dan Mohd. Amri Yahyah (m-81).

Pulau Pinang kembali mencatat kemenangan dengan menewaskan Johor FC 3-2 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya.

Walaupun ketinggalan seawal minit kesembilan menerusi gol sendiri pemainnya, M. Puvindran, Pulau Pinang bangkit untuk membalas dua gol menerusi Mohd. Amirul Omar (m-15) dan penalti yang disempurnakan A.V. Jaganathan (m-45).

Bagaimanapun Johor FC berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Sahruzzahar Ali (m-68) sebelum M. Prakash muncul wira Pulau Pinang dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Dalam pertemuan dua pasukan terbawah liga, Negeri Sembilan memperbaiki kedudukan ke tangga kesembilan selepas menewaskan tuan rumah, Melaka 3-1 dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat.

A. Ganeson menghadiahkan gol pertama buat pasukan pelawat apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-10 sebelum Frederico de Castroque dan Harrison Eric Muranda menambah derita Melaka dengan gol pada minit ke-30 dan 39.

Melaka hanya mampu mendapat gol saguhati menerusi Richard Privitzer (m-77) walaupun Negeri Sembilan beraksi 10 orang selepas Idris Karim dibuang padang pada minit ke-34.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sZVXzBdw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penyu makin hampiri Singa Utara



ARKIB : 07/01/2007

PENYERANG Perlis, Phillimon Chipeta (kanan) diasak oleh pemain pertahanan Sarawak, Irwandy Jempaka pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Sarawak, Kuching, malam tadi. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR – Terengganu mencerahkan kedudukan mereka untuk merampas tempat Perlis sebagai pendahulu Liga Super apabila menewaskan Selangor 1-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad Penyu kini hanya dipisahkan dengan satu mata dengan Perlis tetapi skuad Singa Utara itu masih bertahan di puncak liga dengan 14 mata.

Gol tunggal Terengganu semalam dijaringkan Fabio Flor pada minit ke-32 dan mereka berpeluang memintas Perlis apabila dua pasukan teratas itu bertemu di Kangar, Rabu ini.

Terengganu yang masih beraksi kurang satu perlawanan berbanding Perlis berjaya merapatkan jurang perbezaan mata selepas skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu sekadar mampu seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching.

Walaupun Perlis selesa mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Amar Rohidan (m-42) dan Philimon Chipeta (m-44) tetapi mereka gagal mempertahankan kedudukan itu di babak kedua.

Ini selepas pasukan tuan rumah bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Zulmizan Bujang (m-51) dan Zamri Morshidi (m-75).

Pahang pula melonjak ke tangga ketiga liga dengan memintas Selangor hasil kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Gol kemenangan Pahang dijaringkan pemain import mereka, Peter Patric Juma pada minit ke-60 sekaligus membangkitkan lagi kemarahan penyokong Negeri Sembilan yang ‘naik angin’ semalam dengan mendesak jurulatih, Hatem Soussi dipecat.

Jika prestasi Negeri Sembilan semakin membimbangkan, nasib Melaka pula tambah parah apabila dibelasah 4-0 oleh Brunei DPMM di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah untuk terus menghuni tempat tercorot liga.

Sharizan Mat Said membuatkan Melaka menderita dengan melakukan hatrik pada minit ke-40, 59 dan 61 manakala satu lagi gol Brunei dijaringkan Viban Francis Bayong minit ke-34.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah gagal mengambil kesempatan ke atas lawan mereka, Pulau Pinang yang bermain 10 orang apabila hanya mampu seri 0-0.

Walaupun selepas Md. Suhaidi Akmal dibuang padang pada minit ke-63 serta jurulatihnya, Josef Herel diarah keluar oleh pengadil, Perak masih buntu mencari gol yang dicari-cari.

Kedah yang masih segar dengan kemenangan 4-3 ke atas Perak Rabu lalu, meneruskan aksi cemerlang mereka dengan menewaskan Johor FC 2-1 dalam perlawanan di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Gol Kedah dijaringkan Marlon James pada minit ke-35 dan Kanasian Soley minit ke-45 manakala gol tunggal tuan rumah dijaringkan Azizan Baba minit ke-64.
Kongsi Konten di :

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sYxqajUo
© Utusan Melayu (M) Bhd