Isnin, 23 Oktober 2017

Norfarhan cari hadiah perkahwinan



 
 “TIGA mata penuh untuk hadiah perkahwinan saya nanti.”
Itulah impian penyerang berbisa Terengganu, Mohd. Norfarhan Mohamad yang berhasrat memburu kemenangan pada perlawanan menentang UPB-MyTeam, Sabtu ini yang juga merupakan hari perkahwinannya.
NORFARHAN (kanan) mahu bantu Terengganu raih kemenangan.

Katanya dia mahu menebus maruah skuad Penyu pada perlawanan itu yang gagal mengutip tiga mata penuh dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Saya kecewa apabila kami kalah 2-4 ketika menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 sewaktu menentang Selangor dan Brunei DPMM, baru-baru ini,” ujarnya kepada KOSMO! semalam.

Menurut Norfarhan, dia mahu kembali mempamerkan aksi terbaik kerana merasakan rentak permainannya selepas pulang daripada Sukan SEA di Korat, Thailand Disember lalu agak menurun.

“Ketika mewakili skuad negara pada Sukan SEA lalu, saya mengalami keretakan pada bahagian buku lali dan keadaan itu agak menjejaskan persembahan saya.

“Saya tahu ramai yang tidak puas hati dengan mutu permainan saya yang menurun kebelakangan ini dan ia juga menyedihkan saya.

“Sebab itu saya mahu lebih fokus selepas ini bagi memulihkan keyakinan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Farhan berkata segalanya masih belum pasti kerana dia sendiri belum mendapat kebenaran untuk beraksi pada malam tersebut.

“Saya tidak tahu keputusan pihak pengurusan. Tetapi saya harap dapat bermain pada malam itu,” tambahnya.

Norfarhan, 24, akan menamatkan zaman bujangnya pada Sabtu ini dengan gadis pilihannya, Nik Suhaida Megat Deraman seorang juru runding fesyen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wLGhM67i
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan