Khamis, 21 September 2017

Terengganu kembali ke landasan betul



ARKIB : 20/02/2007

KUALA TERENGGANU – Prestasi pasukan bola sepak Terengganu kembali mantap setelah berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak peringkat awal saingan Liga Super.

Jurulatih pasukan, Yunus Alif berkata, barisan hadapan Terengganu kini lebih menyengat dan mencabar pasukan lawan, lebih-lebih lagi dengan kembalinya penyerang muda berbakat, Norfarham Mohamad yang sebelum ini berehat lama kerana kecederaan.

“Norfarham telah berehat agak panjang kerana tangan kirinya patah setelah bertembung dengan Wan Rohimi Wan Ismail ketika menentang Johor FC akhir Disember lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau menyifatkan Terengganu kian mantap dalam semua posisi selepas Yunus memberikan penekanan dari segi fizikal dan mental kepada anak-anak buahnya sejak kebelakangan.

Beliau yakin pasukan Terengganu akan dapat memintas pendahulu liga, Perlis sekiranya pemain dapat mengekalkan prestasi yang ada sekarang pada perlawanan seterusnya.

Pasukan Penyu akan menunggu kedatangan Telekom Melaka FC pada perlawanan seterusnya di sini, Rabu ini dan Yunus menyifatkan pasukan lawan itu perlu diberikan perhatian supaya Terengganu tidak kecundang.

Yunus juga meminta setiap pemain Terengganu yang bakal diturunkan supaya menggunakan kesempatan sebaik mungkin untuk mencari gol supaya prestasi pasukan tidak tercalar.

“Mengukur pada kemenangan kita ketika bertemu Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Malaysia di sini Ahad lepas 4-0, saya percaya pemain-pemain kita akan dapat mengulangi kecemerlangan itu Rabu ini,” ujarnya.

Katanya, apa yang lebih penting ialah sokongan padu peminat Terengganu yang diharap sentiasa membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah setiap kali Terengganu beraksi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tKRd3wjL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan