ARKIB :
12/01/1998
BEKAS penjaga
gol Terengganu, Zubir Ibrahim akan kembali menyarung jersi hitam putih musim
ini setelah meninggalkan pasukan itu dua musim lalu, lapor WAN ABD RAHMAN
HAYAT.
Zubir merupakan
penjaga gol utama pasukan pantai timur itu sehingga musim 1995 dan memilih
untuk bersama pasukan Liga Amatur kerana enggan menjadi pemain profesional.
Pemain itu
kembali menjalani latihan bersama skuad Terengganu sejak Selasa lalu yang
dikendalikan oleh jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.
Sentuhan Zubir
nampaknya masih berbisa dan jelas memikat pengurusan Terengganu untuk
membawanya kembali bersama pasukan hitam putih itu musim ini setelah tidak
menyambung kontrak Wan Kamaruzaman Muhamad.
Pengurus
pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya akan melihat dulu persembahan pemain
itu sebelum membuat tawaran kepadanya.
Pada dasarnya
beliau masih berminat untuk mengambil Zubir memandangkan pemain itu masih
mempunyai sentuhan yang berbisa.
Menurutnya,
beliau kagum dengan minat Zubir untuk kembali turun berlatih dan ini merupakan
petanda baik untuk Terengganu yang ketandusan penjaga gol yang berkaliber.
''Seperti pemain
lain, penjaga gol itu perlu membuktikan keupayaan sebenarnya terlebih dahulu,''
ujarnya.
Katanya, Zubir
merupakan calon yang ada setakat ini untuk mengisi satu lagi tempat penjaga gol
yang ditinggalkan oleh Wan Kamaruzaman.
''Setelah
melihat permainannya, saya yakin dia (Zubir) masih mampu menjadi penjaga gol
yang baik. Saya akan berbincang dengannya sedikit masa lagi berkenaan dengan
kontraknya jika dia terpilih,'' jelasnya.
Berkenaan pemain
lain, Che Mat berkata, pihaknya bersetuju dengan pendapat jurulatih Abdul
Rahman Ibrahim yang akan menggugurkan mana-mana pemain yang menunjukkan
persembahan kurang baik.
Katanya, setiap
pemain harus bermain dengan baik dan menunjukkan komitmen yang tinggi jika
tidak mereka akan digugurkan.
''Saya juga
tidak mahu ada penumpang dalam pasukan dan kita hanya akan pilih yang terbaik
musim ini,'' ujarnya.
Sementara itu,
pengurus itu akan mengadakan perbincangan dengan Jean Nyima yang baru pulang ke
Terengganu semalam mengenai gaji pemain tersebut hari ini.
Katanya, Majlis
PBSNT akan mengadakan mesyuarat petang ini bersama pemain tersebut mengenai
gaji pemain tersebut dan rakannya Seiddu Issifu.
Katanya,
kemungkinan gaji pemain tersebut akan dibayar berdasarkan nilai ringgit tidak
dolar Amerika kerana ia amat membebankan.
SUMBER-Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FIYLUIO5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan