ARKIB : 02/01/2000
PERSATUAN Bola Sepak Negeri
Terengganu semalam menafikan perpindahan pemain secara besar-besaran berikutan
meletakan jawatan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh sebagai Setiausaha
Kerajaan Terengganu.
Setiausaha PBSNT Abdullah
Salleh berkata, pemain-pemain masih setia dan akan bersama Terengganu tahun
ini.
''Sebenarnya tidak pernah
berlaku perpindahan beramai-ramai, kalau adapun hanya seorang dua sahaja pemain
akan berhijrah,'' katanya sebagai mengulas laporan akhbar kononnya berlaku
perpindahan beramai-ramai pemain Terengganu musim ini.
Abdullah berkata setakat ini
PBSNT telah melepaskan Wan Ahmad Ridzuan dan Badrul Afzan Razali atas kehendak
pemain itu sendiri walaupun tempoh kontrak mereka berakhir penghujung tahun
ini.
Beliau berkata, Anuar Jusoh,
Tay Sin Kiat dan Baharuddin Ali juga dilepaskan kerana kontrak mereka tamat
pada akhir Disember lepas.
Abdullah juga menafikan
kononnya Sapian Wahid, pemain yang berasal dari Melaka akan berhijrah ke
Sarawak untuk mengikuti jejak abangnya, penjaga gol dan ketua pasukan Bujang
Senang, Mazlan Wahid.
Beliau berkata, Sapian tetap
akan bersama Terengganu musim ini bersama-sama pemain yang lain seperti A.
Ganesan, Abdul Ghani Malik, Rosli Omar, Syamsol Saad dan Rosdi Talib.
''Layanan PBSNT ke atas
pemain-pemain tidak akan berubah walaupun kerajaan negeri Terengganu sekarang
ini diterajui oleh PAS,'' kata Abdullah.
Katanya akhbar sepatut tidak
memainkan isu seperti itu kerana ia boleh mencemaskan pemain dan menyusahkan
persatuan.
Abdullah juga menolak dakwaan
kononnya PBSNT tidak menjelaskan wang pemain. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4F8LfKjSB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan