Rabu, 27 Julai 2016

Terengganu risau serangan masih tumbul

ARKIB : 05/03/1998
KETUMPULAN barisan serangan masih menghantui pasukan Terengganu dalam mengejar cita-cita mereka mara ke Perdana satu musim ini, WAN ABD. RAHMAN HAYAT melaporkan.

Keputusan seri 1-1 dengan Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin merupakan pengajaran bagi pasukan Penyu supaya terus mengilap barisan hadapan mereka.

Ketumpulan bahagian tersebut pastinya akan memberi tekanan kepada baghagian tengah dan pertahanan walaupun mereka bermain dengan baik.

Penyerang Hungary, Josef Kovach masih kurang cergas serta belum dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan tempatan, manakala Wan Ahmad Ridzuan Husain dan Sapian Wahid juga kurang menyerlah.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh ketika ditemui mengakui kelemahan tersebut dan memberi jaminan akan membaikinya segera sebelum bertandang ke Kota Bharu, Selasa ini.

Katanya, apa yang penting ialah membina sefahaman antara ketiga-tiga penyerang tersebut supaya mereka bergerak dengan sempurna.

Tambahnya, dalam permainan kelmarin kurang persefahaman merupakan punca yang menghalang mereka bertindak cemerlang merobek pintu gol lawan.

''Sepatutnya kita mendahului pada babak pertama tetapi banyak peluang yang diperolehi dipersiakan begitu sahaja,'' ujarnya.

Selain dari bahagian hadapan bahagian lain juga mengalami masalah yang sama tetapi tidak begitu ketara kerana dibarisi beberapa pemain berpengalaman.

Jean Nyima, Syamsul Saad dan Azman Ismail memantapkan bahagian pertahanan semenrara Badrul Hisham Abdullah, Anuar Jusoh dan Seidu berada kukuh di bahagian tengah.

Pada keseluruhannya pengurus itu berpuas hati dengan permainan anak buahnya malam tadi terutama dari segi semangat juang yang tidak pernah padam hingga ke akhir permainan.

''Kecuali dua pemain yang masih gugup yang lain telah menunjukkan persembahan yang baik, itu merupakan petanda baik bagi kita,'' tambahnya.

Che Mat berkata, dalam latihan selepas ini tumpuan akan diberikan kepada pembentukan persefahaman antara pemain supaya mereka mampu bergerak dalam satu pasukan.

Menyedari pasukannya diintip beberapa pegawai pasukan Kelantan kelmarin, pengurus itu berkata, beberapa pendekatan baru akan dibuat untuk menghadapi pasukan jiran itu nanti.

''Walaupun belum tahu corak permainan pasukan baru mereka tetapi kami tahu bagaimana untuk menghadapi mereka,'' ujarnya.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FcuayANG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan