ARKIB : 05/03/1998
KETUMPULAN barisan serangan
masih menghantui pasukan Terengganu dalam mengejar cita-cita mereka mara ke
Perdana satu musim ini, WAN ABD. RAHMAN HAYAT melaporkan.
Keputusan seri 1-1 dengan Johor
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin merupakan pengajaran
bagi pasukan Penyu supaya terus mengilap barisan hadapan mereka.
Ketumpulan bahagian tersebut
pastinya akan memberi tekanan kepada baghagian tengah dan pertahanan walaupun
mereka bermain dengan baik.
Penyerang Hungary, Josef Kovach
masih kurang cergas serta belum dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan
tempatan, manakala Wan Ahmad Ridzuan Husain dan Sapian Wahid juga kurang
menyerlah.
Pengurus pasukan, Datuk Che Mat
Jusoh ketika ditemui mengakui kelemahan tersebut dan memberi jaminan akan
membaikinya segera sebelum bertandang ke Kota Bharu, Selasa ini.
Katanya, apa yang penting ialah
membina sefahaman antara ketiga-tiga penyerang tersebut supaya mereka bergerak
dengan sempurna.
Tambahnya, dalam permainan
kelmarin kurang persefahaman merupakan punca yang menghalang mereka bertindak
cemerlang merobek pintu gol lawan.
''Sepatutnya kita mendahului
pada babak pertama tetapi banyak peluang yang diperolehi dipersiakan begitu
sahaja,'' ujarnya.
Selain dari bahagian hadapan
bahagian lain juga mengalami masalah yang sama tetapi tidak begitu ketara
kerana dibarisi beberapa pemain berpengalaman.
Jean Nyima, Syamsul Saad dan
Azman Ismail memantapkan bahagian pertahanan semenrara Badrul Hisham Abdullah,
Anuar Jusoh dan Seidu berada kukuh di bahagian tengah.
Pada keseluruhannya pengurus
itu berpuas hati dengan permainan anak buahnya malam tadi terutama dari segi
semangat juang yang tidak pernah padam hingga ke akhir permainan.
''Kecuali dua pemain yang masih
gugup yang lain telah menunjukkan persembahan yang baik, itu merupakan petanda
baik bagi kita,'' tambahnya.
Che Mat berkata, dalam latihan
selepas ini tumpuan akan diberikan kepada pembentukan persefahaman antara
pemain supaya mereka mampu bergerak dalam satu pasukan.
Menyedari pasukannya diintip
beberapa pegawai pasukan Kelantan kelmarin, pengurus itu berkata, beberapa
pendekatan baru akan dibuat untuk menghadapi pasukan jiran itu nanti.
''Walaupun belum tahu corak
permainan pasukan baru mereka tetapi kami tahu bagaimana untuk menghadapi
mereka,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FcuayANG
© Utusan Melayu (M) Bhd