Sabtu, 2 Februari 2019

Kijang sedia 'gomo' Penyu

ARKIB : 10/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
 
KOTA BHARU - Penampilan sulung pada perlawanan akhir Piala FA akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain sayap lincah Red Warriors, Nurul Azuwan Roya bagi membantu pasukannya meraih kejuaraan buat kali pertama.

Nurul Azuwan atau Awe, mahu menjadikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebagai medan terbaik untuk membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh pengurusan pasukan termasuk Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu.

Menurutnya, meskipun kali pertama beraksi pada pentas perlawanan akhir, dia tidak gentar untuk berhadapan dengan puluhan ribu penyokong lawan, yang dijangka menguasai veneu final nanti.

"Saya rasa semakin bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi. Inilah peluang terbaik buat saya dan pasukan mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.

"Selaku anak jati negeri ini, saya akan mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut. Namun jangan terlalu yakin walaupun kita pernah menewaskan mereka 3-0 dalam saingan Liga Super Isnin lalu," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, dia yakin Kelantan mampu muncul juara sekiranya rakan-rakan sepasukan memberi tumpuan sepenuhnya dan mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih.

Anak kelahiran Seremak, Pasir Puteh itu menjangkakan, perlawanan akhir sengit dan Terengganu pastinya tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.

"Terengganu pasti akan turun bermati-matian selepas mereka tumpas kepada kita baru-baru ini. Untuk itu, saya dan rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Izuan Solahuddin yang menjaring gol dalam pertemuan menentang Terengganu, mahu menjadikan penampilan kedua pada pentas akhir Piala FA sebagai penebus kekecewaan selepas tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti pada 2009.

Meskipun hanya memanaskan bangku simpanan pada penampilan pertamanya, dia bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan menggalas tugas selaku pemain utama pada perlawanan akhir tersebut.

"Pada final 2009 saya hanya menjadi pemain simpanan sahaja, namun untuk tahun ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih saya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.

"Ini peluang terbaik buat saya, jadi ia harus digunakan sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kejuaraan," ujarnya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMIkrPQx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 Februari 2019

Janji Sharbinee


ARKIB : 09/06/2011
Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU - "Saya berjanji tidak akan ulangi kesilapan yang sama dan akan beri tumpuan 110 peratus pada final Piala FA nanti,".

Itu kata penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli, 25, yang dikritik jurulatih sendiri, Irfan Bakti kerana melepaskan dua gol mudah ketika skuad Penyu kalah 0-3 kepada Kelantan pada perlawanan Liga Super, Isnin lalu.

Menurut Sharbinee, dia tidak akan membiarkan kekesalan menghantuinya dan bertekad melupakan aksi yang mengecewakan ribuan penyokong ketika menentang Kelantan.

Sharbinee, yang ditemui semasa sesi latihan terakhir petang semalam, tidak menunjukkan reaksi tergugat dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan.

Dua daripada jaringan pasukan lawan Isnin lalu dikaitkan dengan kesilapannya, yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan sebagai penjaga gol kebangsaan.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, dia akan melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir dan tidak akan membiarkan 'pisang berbuah dua kali'.

"Semua pemain termasuk saya tidak dapat beraksi dengan baik ketika kami kalah 0-3 kepada Kelantan tempoh hari.

"Namun perlu diingat, suasana beraksi pada final nanti sangat berbeza berbanding perlawanan liga dan kami akan bangkit semula selepas ini," katanya.

Sharbinee dikritik kerana didakwa menjadi punca kepada kekalahan skuad Penyu kepada Red Warriors Isnin lalu, gara-gara meninggalkan gawang terlalu jauh sehingga memudahkan lawan menjaringkan gol.

Sharbinee menganggap kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu cabaran untuk dia meningkatkan tahap permainan pada final nanti.

Katanya, dia akan memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan jurulatih, Irfan Bakti pada perlawanan Sabtu ini.

"Secara peribadi, final Piala FA ini adalah final pertama dalam karier saya sebagai seorang pemain bola sepak Terengganu.

"Jadi, saya berharap kami akan menewaskan Kelantan nanti," katanya.

Sharbinee merupakan sebahagian daripada anggota skuad Bawah 23 negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eM8CnXNN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Giliran Terengganu teraju liga


ARKIB : 26/05/2011
 
Penjaga gol Selangor, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi terjatuh akibat diasak pemain Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR - Teraju Liga Super bertukar tangan lagi, kali ini giliran Terengganu pula menjadi pendahulu dengan penuh bergaya apabila membelasah Pahang 5-0, semalam.

Kejayaan Terengganu mendaki puncak liga dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, Kelantan iaitu 1-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Muhammed V, Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut, T-Team mendahului hasil jaringan Mohd. Badrul Izani minit ke-46, namun Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-86.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-97.

Terengganu pula berpesta gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu hasil jaringan Ashari Shamsudin (m-14), Abdul Hadi Yahaya (m-20, 53, 56) dan Abdul Manaf Mamat (m-77).

Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengumpul 47 mata, dan memintas Kelantan yang kalah di laman sendiri.

Selangor pula terus dilanda kemerosotan prestasi apabila mencatat kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini kepada 1-2 kepada Harimau Muda A di Stadium Stadium Shah Alam.

Gol Harimau Muda A dijaringkan Izzaq Faris Ramlan (m-41) dan gol kedua oleh Syahrul Azwari (m-61) manakala gol Selangor oleh Safiq Rahim (m-64).

Malang terus membelenggu Perlis apabila mencatat kekalahan keempat berturut-turut kali ini kepada Perak 1-2 di Stadium Utama Negeri.

Perlis mendahului menerusi jaringan Tengku Mohd. Adam pada minit ke-48.

Namun Perak bangkit dengan dua gol pada babak kedua hasil jaringan Mohd. Shazuan Ashraf Mathews (m-64) dan Akmal Rizal Rakhli (m-84).

Di Stadium Likas, jaringan Sharul Azhar Ture, memberikan Sabah tiga mata penuh apabila mengalahkan Felda United 2-1.

Felda United mendahului pasukan tuan rumah menerusi Md. Hasmarul Fadzir pada minit ke-31 dan Zainizam Marjan menyamakan kedudukan pada minit ke-58, sebelum jaringan kemenangan Shahrul pada minit ke-62.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eL4Qm91R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu semakin garang

ARKIB : 24/05/2011
 
Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) mengasak penyerang Terengganu, Mohd. Ashaari Samsuddin dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin. Terengganu menang 3-0. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU – Skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.

Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.

Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

"Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).

"Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eL2LaLQL
© Utusan Melayu (M) Bhd

KEPUTUSAN MASA PERTAMA TERENGGANU 0-0 PKNS

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

KEPUTUSAN TERKINI LIGA SUPER 2019


KEPUTUSAN TERKINI LIGA SUPER 2019
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kuala Lumpur 0-1      Pahang
                             m-23 Saddil Ramdani
           
Terengganu     0-0       PKNS

Isnin, 26 November 2018

Terengganu atasi Kuala Muda Naza


ARKIB : 25/06/2009
KUALA TERENGGANU - Pasukan Terengganu menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kuala Muda Naza 2-0 dalam perlawanan ulangan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Gol pertama Terengganu dijaringkan oleh penyerang muda, Abdul Manaf Mamat pada minit ke-19 sebelum giliran Md. Ashaari Shamsudin pula menyempurnakan gol kedua pasukan Penyu.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tuan rumah lebih banyak mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

Azlan Ismail mempersia-siakan hantaran lintang Abdul Manaf di hadapan pintu gol Kuala Muda Naza pada minit ke-30.

Percubaan terbaik Kuala Muda Naza muncul pada minit ke-42 apabila rembatan kencang Manzoor Azwira Wahid menyaksikan bola terkena tiang gol dan melantun ke luar padang.

Dengan kemenangan ini, Terengganu mengumpul 33 mata untuk menduduki tempat keenam carta liga berkenaan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5Xx0F6ciB
© Utusan Melayu (M) Bhd