ARKIB : 20/02/2007
KUALA TERENGGANU – Prestasi
pasukan bola sepak Terengganu kembali mantap setelah berada dalam keadaan
terumbang-ambing sejak peringkat awal saingan Liga Super.
Jurulatih pasukan, Yunus Alif
berkata, barisan hadapan Terengganu kini lebih menyengat dan mencabar pasukan
lawan, lebih-lebih lagi dengan kembalinya penyerang muda berbakat, Norfarham
Mohamad yang sebelum ini berehat lama kerana kecederaan.
“Norfarham telah berehat agak
panjang kerana tangan kirinya patah setelah bertembung dengan Wan Rohimi Wan
Ismail ketika menentang Johor FC akhir Disember lalu,” katanya ketika dihubungi
di sini, semalam.
Beliau menyifatkan Terengganu
kian mantap dalam semua posisi selepas Yunus memberikan penekanan dari segi
fizikal dan mental kepada anak-anak buahnya sejak kebelakangan.
Beliau yakin pasukan Terengganu
akan dapat memintas pendahulu liga, Perlis sekiranya pemain dapat mengekalkan
prestasi yang ada sekarang pada perlawanan seterusnya.
Pasukan Penyu akan menunggu
kedatangan Telekom Melaka FC pada perlawanan seterusnya di sini, Rabu ini dan
Yunus menyifatkan pasukan lawan itu perlu diberikan perhatian supaya Terengganu
tidak kecundang.
Yunus juga meminta setiap
pemain Terengganu yang bakal diturunkan supaya menggunakan kesempatan sebaik
mungkin untuk mencari gol supaya prestasi pasukan tidak tercalar.
“Mengukur pada kemenangan kita
ketika bertemu Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Malaysia di sini Ahad
lepas 4-0, saya percaya pemain-pemain kita akan dapat mengulangi kecemerlangan
itu Rabu ini,” ujarnya.
Katanya, apa yang lebih penting
ialah sokongan padu peminat Terengganu yang diharap sentiasa membanjiri Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah setiap kali Terengganu beraksi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tKRd3wjL
© Utusan Melayu (M) Bhd