ARKIB : 05/11/2008
KUALA TERENGGANU - Terengganu
meletakkan sasaran bergelar juara Liga Super 2009 dengan mengambil langkah
berani apabila mempertaruhkan hampir keseluruhan barisan pemain muda pada musim
depan yang bermula 3 Januari ini.
Yang Dipertua Persatuan Bola
Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, barisan pemain
muda itu akan dapat membantu tonggak berpengalaman dalam mencapai sasaran
tinggi tersebut.
Katanya, bekas pemain pasukan
lain iaitu Tengku Hazman Raja Hassan (Johor FC), Azlan Ismail (Perlis), Mohd.
Shahrizan Mohd. (Sarawak) dan Mohd. Hafizi Awang (Kelantan) juga dijangka
memperkukuhkan skuad Penyu itu.
"Pemain-pemain muda ini
yang masing-masing mempunyai pengalaman mewakili negeri dalam Piala Presiden,
Piala FAM dan Sukan Malaysia (Sukma) akan menjadi kekuatan pasukan ini,''
katanya selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Bola Sepak Liga Super
Terengganu dan Penajaan Pronic bagi musim 2009.
Turut hadir pada majlis itu
ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Pengurus Besar Teo Guan Lee (KL) Sdn.
Bhd., Toh Choon Keat yang menaja barangan dan peralatan sukan untuk pasukan
Terengganu.
Ahmad berkata, beliau berharap
semua pemain Terengganu akan meletakkan faktor disiplin dan komitmen dalam diri
mereka bagi memastikan hasrat pasukan tersebut dicapai.
"Tanpa kedua-dua faktor
tersebut, pasukan tidak akan maju dan mencapai hasrat menjuarai Piala Super dan
Piala Malaysia," ujarnya.
Beliau memberitahu, kerajaan
negeri akan sentiasa membantu bagi memastikan kebajikan dan pengurusan sentiasa
terjaga.
"Syarikat Teo Guan Lee
yang merupakan pengedar berlesen jenama Pronic telah bersetuju untuk terus
menaja pasukan Terengganu dan untuk musim depan menyediakan penajaan berjumlah
RM350,000 dalam bentuk peralatan dan baju sukan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz512o8sCK5
© Utusan Melayu (M) Bhd