Isnin, 23 Oktober 2017

Norfarhan cari hadiah perkahwinan



 
 “TIGA mata penuh untuk hadiah perkahwinan saya nanti.”
Itulah impian penyerang berbisa Terengganu, Mohd. Norfarhan Mohamad yang berhasrat memburu kemenangan pada perlawanan menentang UPB-MyTeam, Sabtu ini yang juga merupakan hari perkahwinannya.
NORFARHAN (kanan) mahu bantu Terengganu raih kemenangan.

Katanya dia mahu menebus maruah skuad Penyu pada perlawanan itu yang gagal mengutip tiga mata penuh dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Saya kecewa apabila kami kalah 2-4 ketika menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 sewaktu menentang Selangor dan Brunei DPMM, baru-baru ini,” ujarnya kepada KOSMO! semalam.

Menurut Norfarhan, dia mahu kembali mempamerkan aksi terbaik kerana merasakan rentak permainannya selepas pulang daripada Sukan SEA di Korat, Thailand Disember lalu agak menurun.

“Ketika mewakili skuad negara pada Sukan SEA lalu, saya mengalami keretakan pada bahagian buku lali dan keadaan itu agak menjejaskan persembahan saya.

“Saya tahu ramai yang tidak puas hati dengan mutu permainan saya yang menurun kebelakangan ini dan ia juga menyedihkan saya.

“Sebab itu saya mahu lebih fokus selepas ini bagi memulihkan keyakinan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Farhan berkata segalanya masih belum pasti kerana dia sendiri belum mendapat kebenaran untuk beraksi pada malam tersebut.

“Saya tidak tahu keputusan pihak pengurusan. Tetapi saya harap dapat bermain pada malam itu,” tambahnya.

Norfarhan, 24, akan menamatkan zaman bujangnya pada Sabtu ini dengan gadis pilihannya, Nik Suhaida Megat Deraman seorang juru runding fesyen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wLGhM67i
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Terengganu boleh tarik nafas lega



 
Oleh NURUL AMALINA RAMLEE
DOS ANJOS bakal diturunkan pada aksi menentang PDRM malam ini.
PENDAHULU liga, Terengganu kembali mendapat keyakinan selepas pemain importnya, Jocian Bento Dos Anjos yang sebelum ini mengalami kecederaan lutut disahkan akan beraksi pada perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam ini.

Berita gembira itu disuarakan pengurus pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof semalam.

Katanya, kecederaan Dos Anjos sudah pulih dan pemain kelahiran Brazil itu akan bersama skuad Penyu dalam saingan Liga Super malam ini.

“Sama ada bermain atau menjadi pemain simpanan belum kita ketahui lagi.

“Apa yang pasti, dia sudah boleh bermain dan namanya telah disenaraikan dalam barisan 20 pemain untuk menentang PDRM nanti,” ujarnya.

Ditanya mengenai kedudukan penyerang lincah Terengganu, Che Hishammudin Hassan, Sheikh Ahmad mengesahkan bahawa pemain itu masih belum dapat diturunkan ekoran masalah kesihatan.

“Demam yang dialaminya sebelum ini masih belum pulih dan kita tidak akan biarkan dia beraksi pada perlawanan esok (malam ini).”

Sementara itu, menyentuh perlawanan malam ini, beliau menasihati anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah atau yakin dalam memburu kemenangan.

“Kami akan beraksi di tempat lawan dan saya jangkakan sokongan lebih berpihak kepada mereka.

“Jadi saya mahu pemain sentiasa menghargai peluang kerana kalau mereka bersikap sambil lewa peluang kita untuk menang akan sukar,” katanya

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4w6r0Cycw
Hakcipta terpelihara