Khamis, 24 Jun 2021

Harap Piala AFC tidak 'dikorbankan' - Hafizal

Malik Muhamad

am@hmetro.com.my



Pemain TFC, Muhammad Hafizal Mohamad. FOTO Ihsan TFC

Kuala Terengganu: Pertahanan kanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Hafizal Mohamad meletakkan harapan yang tinggi agar pentas Piala AFC Kumpulan I dan H tidak menjadi 'korban' sebaliknya berlangsung sebagaimana mengikut perancangan.

Biarpun sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum mengumumkan status kejohanan kedua paling berprestij di Asia itu.

Bekas pemain skuad Harimau Muda kelahiran Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu yang bakal membuat penampilan pertama dalam kejohanan itu turut menanti berita gembira daripada AFC.

Dia turut mengharapkan agar ada negara lain sudi menjadi tuan rumah bagi menggantikan Singapura yang menarik diri berikutan kebimbangan Covid-19.

Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu mengharapkan biarlah jadual pertandingan itu tidak berlaku pertindihan dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) lebih-lebih lagi skuad kendalian Nafuzi Zain itu kini menghuni di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Tinggi harapan kami pemain TFC agar saingan Piala AFC tidak dibatalkan sebaliknya diteruskan lebih-lebih lagi kami sudah tidak sabar dan bersedia sejak akhir musim lalu lagi.

"Kami juga mahu menimba pengalaman berharga dalam mengharungi saingan itu lebih-lebih lagi penampilan sulung majoriti pemain apatah lagi untuk sampai ke tahap itu bukan sesuatu yang mudah selepas kali terakhir Terengganu layak beraksi pada 2012.

"Kami akur dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang yang menjadi kebimbangan semua, tapi kami sedia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang dan bakal dikuatkuasakan asalkan kami diberi peluang untuk beraksi.

"Jadi kami harap pihak penganjur dapat mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan demi pembangunan bola sepak di rantau Asean, namun kami akur dan serahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Media melaporkan tempoh semakin suntuk jawatankuasa kejohanan Piala AFC mencari jalan terbaik meneruskan saingan terbabit atau dibatalkan penganjurannya kerana ketika ini masih belum ada pasukan bersedia atau sanggup menganjurkan kejohanan itu termasuklah membabitkan negara berkecuali.

Disiarkan pada: Jun 24, 2021 @ 11:28pm.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722299/harap-piala-afc-tidak-dikorbankan-hafizal