WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR |
| 7 Mac 2020
Ifwat Akmal gagal menyelamatkan
salah satu jaringan yang dilakukan oleh Da Sylva di Stadium Darul Aman malam
ini. -Foto AHMAD ZAKI OSMAN
PENYERANG Terengganu, Dominique
Da Sylva membuktikan dirinya sebagai penggempur berkualiti apabila meledakkan
empat gol membantu pasukannya menewaskan Kedah 4-3 bagi aksi kedua Liga Super
2020 di Stadium Darul Aman malam ini.
Terdahulu, Kedah dikejutkan oleh
jaringan awal pasukan pelawat seawal minit ke-2 hasil tandukan Da Sylva yang
menerima hantaran sepakan sudut dari ketua pasukan Terengganu, Lee Andrew Tuck
menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Terkejut dengan jaringan
tersebut, anak buah Aidil Sharin Sahak kembali mengatur corak permainan mereka
dan Renan Alves menyelamatkan keadaan apabila menyamakan kedudukan 1-1 pada
minit ke-19.
Peluang itu hadir apabila penjaga
gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim gagal mengeluarkan bola dari
kawasan berbahaya hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Hadin Azman.
Namun kedudukan semasa berubah
pada minit ke-21 apabila Kedah berada di hadapan dengan keputusan 2-1 hasil
jaringan Kpah Sherman yang menerima hantaran cantik Rizal Ghazali menerusi satu
serangan pantas.
Penyerang Kedah, Tcheche Kipre
meletakkan pasukannya semakin selesa di hadapan 3-1 apabila menewaskan Muhammad
Rahadiazli pada minit ke-61 dengan memanfaatkan hantaran pantas yang dilakukan
oleh Hadin.
Namun Terengganu berjaya
merapatkan kedudukan 3-2 selepas dua minit kemudian menerusi Da Sylva selepas
dia tidak dikawal oleh pemain tuan rumah hasil sepakan percuma yang dilakukan
oleh Lee Tuck.
Da Sylva terus mempamerkan
ketajamannya apabila menjaringkan hatrik pertamanya mengikat pasukan lawan 3-3
pada minit ke-81 selepas bijak mengelirukan Ifwat Akmal.
Pemain itu terus menjadi duri
dalam daging kepada Kedah apabila menjaringkan gol keempatnya untuk membantu
Terengganu kembali mengatasi tuan rumah 4-3 pada minit ke-84 dan keputusan
tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.[1]