Rabu, 13 November 2019

TFC ikat Nasir, Arif


MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
TERENGGANU FC (TFC) kian bernafsu apabila mengikat bekas arkitek skuad kebangsaan, Nasir Basharuddin dan bekas bek kental FELDA United, Arif Fadzillah Abu Bakar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dalam kenyataan media dikeluarkan media rasmi TFC, kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.

Pengalaman luas dimiliki dua pemain itu berjaya menarik minat barisan jurulatih TFC untuk ‘merantai’ pemain itu.

Nasir, 29, adalah bekas ketua pasukan dan pemain tonggak Perak manakala Arif, 23, adalah bekas pemain T-Team sebelum beraksi bersama pasukan TFC II (2018) dan kemudian mewakili FELDA United pada musim ini.

Arif yang pernah menyarung jersi skuad bawah 23 tahun kebangsaan adalah anak jati Kampung Kubu, Marang dan antara pemain kesayangan bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.

“Mereka memiliki pengalaman luas dalam kancah liga tempatan khususnya Nasir yang pernah menyarung jersi Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujar ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain.

“Arif akan mengukuhkan bahagian pertahanan manakala kemasukan Nasir pastinya memantapkan lagi jentera tengah TFC.”

Kehadiran dua pemain itu bakal mengisi posisi yang ditinggalkan bek kiri, Adib Aizuddin Ab Latif dan pemain tengah kelahiran Selangor, Khairu Azrin Khazali.

Sebelum ini, TFC pantas mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli bagi menggantikan Thierry Chantha Bin dari Kemboja bagi kuota Asean.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:40 PM


Khamis, 7 November 2019

Terengganu tunjuk petanda positif


MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
KEJAYAAN merangkul trofi dalam Kejohanan Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal di Chittagong, Bangladesh edisi ketiga kelmarin memberi petanda positif buat skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kapten TFC, Lee Tuck mengakui gembira dengan prestasi rakan sepasukan dalam kejohanan itu walaupun ketua jurulatih, Nafuzi Zain tidak membawa kesebelasan utama pasukan.

"Saya begitu gembira apabila bergelar juara kerana bukan senang untuk bermain menentang pasukan terbaik dari lima negara lain termasuk India dan Bangladesh dalam kejohanan jemputan itu.

"Kami tetap beraksi dengan baik dan tidak menganggap ia sebagai sesi pemanas badan sebelum bermulanya liga tahun depan kerana kami datang dengan misi untuk menimba pengalaman dan menikmati jelajah ini dengan permainan menarik.

"Kami bermain lima perlawanan dalam tempoh sembilan hari, jadi kami perlu kekalkan kekuatan mental dan fizikal kami.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan betapa Liga M mempunyai kualitinya yang tersendiri kerana kami bukan hanya mewakili Terengganu tetapi Malaysia," katanya.


Pemain skuad Terengganu. FOTO fb TFC
Dalam kejohanan itu, pemain berdarah campuran England-Malaysia itu meraih dua gelaran termasuk penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak enam gol dan pemain terbaik kejohanan.

Sebanyak lima negara menyertai kejohanan itu antaranya Malaysia, India, Laos, Maldives serta tuan rumah, Bangladesh.

Pada perlawanan akhir, TFC menumpaskan pasukan tuan rumah, Abahoni Limited 2-1 hasil jaringan pemain muda meningkat naik, Hairiey Hakim Mamat dan Azalinullah Alias.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 12:05 PM