Jumaat, 23 Februari 2018 |
11:26pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd
Khairul Izuan Rosli diasak oleh Lee Tuck (kanan) dalam perlawanan Liga Super di
Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
TFC rampas takhta liga
Oleh Mohd Helmi Irwady dan Mohd
Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
SEREMBAN: Terengganu FC (TFC)
membuktikan mereka memiliki kekuatan tersendiri apabila menewaskan Negeri
Sembilan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,
malam tadi.
Ia kekalahan ketiga Negeri
Sembilan selepas sebelum ini tunduk kepada PKNP FC dan Melaka United (MU)
dengan kemenangan membenarkan TFC untuk menerajui takhta liga berikutan ia
satu-satunya aksi Liga Super yang berlangsung, hari ini.
TFC yang turun dengan misi
memadam rekod buruk sudah melakukan asakan ke kubu Negeri Sembilan seawal
permainan menerusi gandingan barisan depan mereka yang dikemudi Lee Tuck,
Nasrullah Hanif Johan dan Tchethe Hermann.
Situasi itu seakan menyentap
semangat pemain Negeri Sembilan yang mahu mengekalkan rekod baik di tempat
sendiri, namun persiapan mereka dilihat kurang berkesan apabila terpaksa tampil
dengan hanya tiga pemain import iaitu Flavio Beck Junior, Renard Rode dan Kim
Do Heon.
Peluang terbaik tuan rumah hadir
pada minit ke-5 menerusi N Thanabalan yang turun menggantikan ayam tambatan
pasukan itu, Nicolas Velez, namun sepakannya dari jarak kira-kira 30 meter
sekadar melepasi palang.
Ketika anak buah Jorg
Steinebrunner cuba menyusun rentak, gawang mereka dikejutkan dengan jaringan
penyerang berpengalaman Terengganu, Mohd Ashaari Samsudin pada minit ke-11.
Dia yang menerima hantaran
Hermann dari sebelah kiri mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol tuan
rumah, Muhammad Ilham Abdullah, untuk meletakkan skuad Penyu di depan.
Jaringan itu membangkitkan
semangat anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk menambah gol, namun rembatan Lee
Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-29 bagaimanapun dapat diselamatkan
Muhammad Ilham.
Lee Tuck terus menjadi ancaman
buat kubu Negeri Sembilan apabila beberapa gerakan merbahaya mengucar kacirkan
pertahanan pasukan itu dan pada minit ke-36, Ashaari melakukan gerakan solo,
namun percubaan keduanya ke arah pintu gol tuan rumah, sedikit tersasar.
Negeri Sembilan yang cuba
menyusun rentak sebaik perlawanan bersambung berpeluang menyamakan kedudukan
tetapi sepakan Do Heon dari dalam kotak penalti pada minit ke-50, tidak
menjadi.
Bagaimanapun usaha mereka
mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Muhamad Fakrul Aiman Sidid menanduk
deras bola hantaran lintang Do Heon pada minit ke-72, sekali gus menewaskan
Mohd Sufian Rahman untuk terikat 1-1.
Kedudukan itu tidak bertahan lama
apabila pemain gantian Junhyeab Lee memanfaatkan kesilapan pertahanan Negeri
Sembilan untuk meledak gol kedua Terengganu pada minit ke-83 yang juga gol
kemenangan skuad Penyu.
sumber-berita Harian online
Jumaat, 23 Februari 2018 | 11:26pm